Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap pada Sidang Kemuncak KL di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PM: Sidang Kemuncak KL lengkapi usaha gabungan negara Islam

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Sidang Kemuncak KL bertindak sebagai kerjasama strategik untuk melengkapkan usaha yang dilakukan oleh gabungan negara Islam sedia ada seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Lapan Negara Membangun (D-8).

Perdana menteri berkata semua negara Islam dipelawa menyertai usaha ini dalam perbincangan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur pada masa akan datang yang akan dijenamakan semula sebagai Dialog Perdana, bermula 2020.

Dr Mahathir, sebagai pengerusi Sidang Kemuncak KL, berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada akhir persidangan edisi 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Kenyataan Pengerusi Sidang Kemuncak KL 2019 yang mengandungi antara lain, komitmen dan ikrar dalam usaha untuk meningkatkan kemajuan umat Islam, dibacakan oleh Timbalan Pengerusi Sidang Kemuncak Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid pada majlis penutup persidangan itu.

“Kami komited untuk melaksanakan penyelesaian pragmatik yang disokong oleh sidang kemuncak ini dengan tujuan untuk memulihkan ketamadunan Islam yang sangat dihormati, memperbaiki keadaan semasa ummah, dan memperluas jangkauan pembangunan ekonomi serta sains, teknologi dan inovasi untuk manfaat generasi akan datang,” kata Dr Mahathir dalam dokumen itu.

“Kami mengiktiraf peranan setiap ummah dalam semua kepelbagaiannya untuk mencapai matlamat memulihkan peradaban Islam untuk kebaikan ummah,” katanya dalam kenyataan pada Sidang Kemuncak KL bertemakan ‘Peranan Pembangunan Dalam Akses Kedaulatan Negara’.

Dr Mahathir berkata sidang kemuncak itu memutuskan untuk memanfaatkan solidariti, kekuatan dan sumber untuk memangkinkan amanat yang diperbaharui dan kesungguhan ummah untuk meningkatkan kehidupan, memodenkan dan mencipta pendekatan baharu untuk menangani masalah dihadapi umat Islam.

Perdana menteri berkata sidang kemuncak itu menekankan pentingnya mengenal pasti pembangunan diperlukan negara-negara Islam, mewujudkan peluang dalam pelbagai bidang, memerangi rasuah dan mengamalkan tadbir urus yang baik, serta menangani krisis identiti dan ancaman Islamofobia.

Peluang yang akan diwujudkan seperti ekonomi, perdagangan, pelaburan, perindustrian, penyelidikan dan pembangunan, produk kewangan Islam dan kemajuan teknologi bersama dalam bidang-bidang yang penting.

“Kami mengulangi komitmen kami untuk bekerjasama ke arah membangunkan ummah yang menjalani kehidupan penuh kebebasan, dengan kemuliaan dan kemakmuran, dilengkapi dengan tahap pendidikan dan kemahiran tertinggi untuk peluang sosioekonomi yang lebih baik,” katanya.

Dr Mahathir berkata perbincangan turut menyentuh mengenai isu mata wang dan cara perdagangan sesama negara Islam, di mana beliau mencadangkan supaya dikaji semula idea perdagangan dengan menggunakan dinar emas dan sistem barter.

Beliau berkata penting juga bagi beliau untuk menyatakan bahawa Iran khususnya, walaupun bertahun-tahun berdepan perintah sekatan, mampu terus maju dan berkembang, dengan mempunyai jumlah jurutera keempat tertinggi di dunia.

Pemimpin Malaysia itu berkata Qatar juga telah dikenakan sekatan dan, seperti Iran, turut berjaya bangkit dan berkembang maju dengan hebat.

“Bagaimanapun, sekatan sedemikian tidak semata-mata merujuk kepada Iran dan Qatar sahaja. Semasa dunia menyaksikan negara-negara membuat keputusan unilateral bagi mengenakan langkah berbentuk menghukum seperti itu, Malaysia dan negara lain harus selalu ingat bahawa ia juga boleh dikenakan ke atas mana-mana daripada kita,” katanya.

Dr Mahathir berkata atas alasan inilah, negara-negara Islam perlu berdikari dan berusaha dengan negara Islam lain untuk memastikan bahawa jika langkah-langkah seperti itu dikenakan kepada mereka, atau apabila dikenakan, mereka mampu menghadapinya.

Dr Mahathir turut menyentuh berhubung kebimbangan umat Islam di negara bukan Islam dipaksa menjalani asimilasi, dengan berkata “Kita menyokong integrasi, tetapi asimilasi sehingga ke tahap meninggalkan agama kita, ia tidak boleh diterima,”

Beliau berkata sidang kemuncak ini menegaskan bahawa sekiranya negara-negara Islam benar-benar bebas, dan berupaya untuk berdikari, mereka pastinya tidak mendapat layanan yang sedemikian.

Merujuk kepada 1.8 bilion populasi umat Islam, beliau berkata mereka membentuk satu perempat daripada jumlah umat manusia, namun, kelompok yang mewakili mereka dalam semua bidang di platform global, dilihat masih kurang.

Dr Mahathir juga ada beberapa mesej buat mereka yang berpandangan negatif terhadap Sidang Kemuncak KL.

“Kita bukan berhimpun di sini untuk mengambil alih mana-mana platform Islam yang lain, kita juga tidak berhasrat mewujudkan kategori atau kelas yang berbeza antara negara Islam, dan kita juga tidak berhasrat untuk melemahkan yang lain,” katanya.

“Ia adalah satu jemaah terdiri daripada beberapa negara Islam di mana beberapa pemimpinnya berhasrat untuk bersama membincangkan bidang tertentu yang boleh mereka bangunkan secara bersama, dengan hasrat yang pertama adalah membawa manfaat kepada negara yang berkenaan, dan kemudiannya membawa ia ke platform lebih besar serta berkolaborasi untuk memberi manfaat kepada negara Islam secara keseluruhannya.

“Semasa ia tidak dapat menghilangkan rasa curiga dan bantahan yang dibangkitkan, kita sekali lagi ingin mengulangi bahawa sisang kemuncak ini bertumpu kepada objektif bagi mencari penyelesaian dan mewujudkan program-program yang kita percaya boleh membantu, sekaligus menyelamatkan ummah daripada penderitaan semasa.

-BERNAMA


Pengarang :