Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri) menerima Ijazah Kedoktoran Kehormat daripada Presiden Universiti Qatar, Dr Hassan Al Derham dalam satu majlis di dewan Ibn Khaldoon di universiti berkenaan, di sini. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PM terima Ijazah Kedoktoran Kehormat dari Universiti Qatar

DOHA, 14 DIS: Universiti Qatar menganugerahkan Ijazah Kedoktoran Kehormat kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengiktirafan kepada sumbangan besar beliau dalam akademik dan politik, sehingga memimpn negara ke arah kesejahteraan, pada Jumaat.

Perdana Menteri yang dalam lawatan rasmi empat hari ke Qatar berakhir hari ini, menerima Ijazah Kedoktoran Kehormat dalam Falsafah itu daripada Presiden Universiti Qatar, Dr Hassan Al Derham dalam satu majlis di dewan Ibn Khaldoon di universiti berkenaan, di sini.

Turut hadir ialah isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Dalam ucapan di majlis itu, Dr Mahathir mengucapkan terima kasih kepada Universiti Qatar atas anugerah berkenaan, dan ia merupakan penghormatan besar bukan sahaja bagi dirinya, tetapi bagi isterinya, kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia.

“Saya benar-benar menghargai pengiktirafan ini. Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk terus menyumbang ke arah mengukuhkan hubungan Malaysia-Qatar,” katanya.

Perdana Menteri berkata beliau berharap untuk melihat lebih banyak kerjasama dan kolaborasi antara Universiti Qatar dan Malaysia.

“Saya merasa amat berbesar hati. Anugerah yang disampaikan Universiti Qatar ini akan terus dikenang sebagai simbol hubungan akrab antara dua negara,” tambahnya.

Dr Mahathir turut menekankan bahawa Malaysia dan Qatar akan terus mengekalkan hubungan mesra yang terjalin dan berusaha ke arah meningkatkan hubungan itu pada masa akan datang.

“Malaysia dan Qatar berkongsi kepercayaan dan komitmen bersama mengenai pendidikan. Malaysia percaya mencari ilmu adalah proses sepanjang hayat dan menjadi hak setiap individu untuk mendapat akses kepada pendidikan. Oleh itu, saya berbangga mendapat peluang untuk bersemuka dengan pelajar univesiti ini.

“Pendidikan meningkatkan keupayaan seseorang dan boleh menjadi satu penentu penting dalam meningkatkan status sosio-ekonomi seseorang.

“Saya percaya universiti memainkan peranan penting dalam menyediakan peluang dan sokongan kepada pelajar untuk meneroka ilmu pengetahuan baharu dan merealisasikan potensi mereka,” tambahnya.

Ini merupakan anugerah Kedoktoran kehormat kedua yang dianugerahkan oleh Universiti Qatar, selepas Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan menerimanya pada Disember 2015.

-BERNAMA


Pengarang :