Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM ucap terima kasih kepada petugas Sidang Kemuncak KL

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad merakamkan penghargaan kepada semua petugas yang menjayakan Sidang Kemuncak KL 2019 sehingga ia mencapai matlamat yang diharapkan.

Beliau berkata mengikut laporan yang diterimanya melalui media dan delegasi asing, sidang kemuncak itu berjaya membuahkan hasil dalam usaha membangunkan negara-negara Islam.

“Semua ini hasil usaha kerja dan tenaga tuan-tuan dan puan-puan, sebab itu saya amat berterima kasih kepada semua yang hadir malam ini dan tiada cara saya membalas budi, kerana setakat makan malam saja tak cukup barangkali, tetapi itu sajalah yang kita mampu.

“Semua peserta dan pekerja telah berusaha bertungkus lumus menjayakan suatu perjumpaan yang luar biasa dalam dunia Islam, tetapi sebenarnya bagi semua kerja yang kita lakukan (tujuannya) bukan upah atau makanan, yang penting sebaliknya kepuasan hati kita kerana matlamat kita telah tercapai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Penghargaan bagi meraikan lebih 1,000 petugas pada Sidang Kemuncak KL 2019 yang berakhir hari ini.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Sidang Kemuncak itu berkata pada mulanya beliau khuatir sama ada persiapannya berjalan dengan sempurna atau sebaliknya, berikutan kekangan tugas sebagai Perdana Menteri yang menyebabkan beliau tidak dapat memantau perkembangan persiapan dengan kerap.

Bagaimanapun selepas melihat sendiri perjalanan sidang kemuncak itu yang sempurna, beliau kagum akan persiapan yang dijalankan para petugas dalam mengendalikan persidangan bertaraf antarabangsa itu.

“Macam-macam usaha telah dibuat termasuk mengadakan latar belakang yang cantik, melihat pameran, berkenaan dengan pencapaian dalam bidang teknologi moden, kita juga dapat dengar syarahan pemimpin-pemimpin, dan dalam program meja bulat yang diadakan khusus untuk memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang kita ingin capai, (semuanya) berjalan dengan baik,” katanya.

Sidang Kemuncak KL 2019 yang bermula Rabu lepas disasar untuk menampilkan penyelesaian yang baharu dan boleh dilaksanakan dalam menghadapi isu-isu yang membelenggu dunia Islam.

-BERNAMA


Pengarang :