Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PM ulangi letak jawatan selepas selesai masalah ditinggal kerajaan terdahulu

DOHA, 14 DIS: Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi bahawa beliau akan melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri selepas menyelesaikan masalah-masalah yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu.

“Saya telah berjanji, bahawa saya akan melepaskan jawatan sebaik sahaja saya menyelesaikan beberapa masalah utama yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu.

“Saya akan serahkan kepimpinan kepada seorang calon yang telah dinamakan oleh PAKATAN (Pakatan Harapan),” katanya dalam temuramah yang disiarkan secara langsung oleh stesen Al Jazeera, di Forum Doha 2019, di sini, Sabtu.

Dalam penjelasan lanjut, Perdana Menteri berkata, beliau telah melalui pengalaman buruk mengenai penggantinya selepas beliau melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri keempat pada tahun 2003.

“Saya telah namakan pengganti saya, dan (kemudian) mereka ambil alih dan buat perkara yang berbeza,” kata Dr Mahathir.

Semasa ditanya sekiranya beliau akan melepaskan jawatannya selepas tahun 2020, Dr Mahathir berkata, beliau akan berbuat demikian hanya selepas membetulkan semua masalah-masalah yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu, yang amat serius dan tidak boleh diselesaikan dalam masa yang singkat.

Beliau berkata, kerajaan telah diberi mandat selama lima tahun bagi mencapai objektifnya, dan banyak yang sudah dicapai dalam tempoh satu setengah tahun yang lepas, termasuk menambah baik keadaan kewangan negara.

– BERNAMA


Pengarang :