AGENDANASIONAL

Polio: 75 peratus tidak tunjuk gejala jangkitan

KUALA LUMPUR, 11 DIS: Hampir 75 peratus daripada mereka yang dijangkiti virus polio tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda gejala tersebut, kata Pakar Perunding Perubatan Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan Dr Rohani Jahis.

Menurut Dr Rohani, sebaliknya hanya seorang daripada empat orang dengan jangkitan virus polio, yang akan menunjukkan gejala, kebiasaanya seperti demam selesema.

“Hanya 0.5 peratus individu yang dijangkiti virus ini mengalami kelumpuhan. Maksudnya tidak semua orang lumpuh. Tapi apabila kita dijangkiti virus ini, ia (virus) tetap akan dikeluarkan dalam najis, jadi risiko untuk menjangkiti orang lain itu ada, apabila ia (virus) dikeluarkan dalam persekitaran,” katanya ketika menjadi tetamu Ruang Bicara: Bahaya Polio di Bernama TV semalam.

Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan memaklumkan seorang bayi tiga bulan disahkan dijangkiti vaccine-derived poliovirus type 1 (VDPV1), semasa dirawat di Unit Rawatan Rapi hospital pada 6 Disember lepas.

Kes polio ini merupakan yang pertama, setelah Malaysia diisytiharkan bebas penyakit itu 27 tahun lalu.

Beliau berkata, virus polio sebenarnya belum lagi ‘dibasmi’ di dunia ini, dan ketika ini terdapat tiga lagi negara yang masih lagi endemik dengan virus tersebut, iaitu Nigeria, Afghanistan dan Pakistan.

“Jadi kemungkinan (virus) datang daripada negara lain boleh berlaku, sekiranya kanak-kanak atau penduduk di negara ini tidak dilindungi dengan vaksin (pelalian), jadi risiko untuk dapat jangkitan itu ada,” katanya.

Dr Rohani berkata sekiranya seseorang itu dijangkiti virus polio, tiada rawatan khusus untuk membunuh virus tersebut, sebaliknya rawatan adalah bersifat ‘supportive’ seperti ubat demam (sekiranya demam) dan fisioterapi sekiranya mengalami kelumpuhan kaki.

Beliau menegaskan langkah terbaik yang boleh diambil ketika ini ialah, memastikan anak-anak menerima imunisasi yang secukupnya dan pada masa sama, memastikan komuniti turut dilindungi dengan imunisasi.

“Apabila dalam komuniti ramai yang telah menerima pelalian, apabila ada virus polio yang datang ke komuniti, virus itu tidak boleh nak ‘survived’ dalam komuniti, sebab semua orang telah diberi imuniti.

“Isunya apabila tidak ada ataupun imuniti dalam populasi itu rendah, jadi virus ini boleh ‘survived’ dan merebak dalam komuniti menyebabkan masalah,” katanya.

Menurut Jadual Imunisasi Kebangsaan Malaysia, bayi perlu menerima vaksin polio tidak aktif (IPV) pada usia dua bulan, tiga bulan dan lima bulan. Bayi itu juga perlu diberi dos tambahan apabila mencapai usia 18 bulan.

-BERNAMA


Pengarang :