Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Polis bongkar makmal proses dadah bernilai RM4.3 juta

ccsb-ads

KUALA LUMPUR, 27 DIS: Polis menahan tiga lelaki warga tempatan dan merampas dadah ketamin bernilai RM4.3 juta dalam serbuan terhadap makmal memproses dadah di sebuah kawasan perumahan di Bukit Sungai Long di Kajang, Selangor, Selasa lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata dalam serbuan pada 7.30 malam yang dilakukan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor itu, polis merampas ketamin seberat kira-kira 96.55 kilogram.

“Suspek yang ditangkap berumur antara 32 dan 37 tahun dengan masing-masing berperanan sebagai tukang masak, pembantu tukang masak dan pengantara dengan ketua sindiket.

“Polis turut merampas tong gas, penapis dan alat timbang digital selain menyita dua buah kereta iaitu Toyota Mark X dan Proton Wira serta akaun bank bernilai RM254,819.90,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya saringan ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah dan menurutnya kesemua suspek direman enam hari bermula 25 Dis lepas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, katanya.

-BERNAMA


Pengarang :