Ilustrasi tangkapan penjenayah. Grafik Media Selangor
AGENSISELANGOR

Polis: Kes curi MotoGP selesai

SEPANG, 14 DIS: Polis percaya pihaknya berjaya menyelesaikan kes kecurian pada penganjuran MotoGP Grand Prix (GP) Malaysia 2019 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bulan lalu, dengan penahanan enam lelaki serta merampas barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ACP Zulkifli Adamshah memaklumkan tangkapan terbaru kelmarin melibatkan tiga lelaki tempatan.

Katanya dua daripadanya pernah bertugas secara sambilan di bahagian penyelenggaraan dan logistik MotoGP, seorang pada musim MotoGP 2019 dan seorang lagi MotoGP 2018.

“Mereka bertiga yang berumur 20-an dipercayai adalah kenalan yang tinggal berdekatan di sekitar daerah Sepang,” katanya dalam sidang media di sini.

Pada 3 November lalu, tiga pengawal keselamatan di SIC ditahan berhubung kes kecurian berkenaan.

Menurut laporan, insiden kecurian melibatkan beberapa pasukan yang mengambil bahagian dalam MotoGP 2019 dipercayai berlaku pada awal pagi 1 November.

Antara paling terkesan dengan kes berkenaan ialah pasukan Angel Nieto, apabila beberapa alat ganti seperti tayar depan, set lengkap penyerap hentak dan brek bagi jentera kelas Moto2 dan Moto3 dicuri.

Ekoran tangkapan terbaru itu, Zulkifli berkata sebanyak 42 barangan bernilai RM75,300 berkaitan kejadian curi komponen dan aksesori pasukan dalam kelas Moto2 dan Moto3 dirampas di sebuah rumah di Sepang.

Antara barangan itu ialah 26 unit brek, tujuh unit spanner, dua set frame aksesori, dua handrill, 11 tire watch, enam botol minyak brek jenama Brembo.

Turut dirampas dua motosikal yang telah diubah suai menggunakan komponen yang dicuri dan sebuah kereta yang dipercayai digunakan untuk membawa keluar barangan curi tersebut, katanya.

Zulkifli berkata pihaknya akan memaklumkan kepada SIC untuk mengesahkan barangan yang dirampas serta membuat pengecaman.

“Ini adalah kejayaan polis khususnya kontinjen Selangor memandangkan isu ini juga tular di media sosial bukan sahaja di dalam negara malah seluruh dunia kerana penganjuran MotoGP ini adalah acara besar di peringkat antarabangsa,” katanya.

Katanya siasatan terhadap enam lelaki yang ditahan mendapati dua daripadanya positif dadah jenis Meth manakala dua lagi mempunyai rekod lampau jenayah curi motosikal dan dadah.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata dua lagi suspek yang dipercayai turut terlibat masih lagi bebas yang seorang daripadanya adalah adik kepada seorang daripada suspek yang ditahan.

“Mereka ini sudah dikenal pasti cuma sekarang ini berada di luar daerah Sepang,” katanya.

Ditanya anggaran nilai barangan curi tersebut di pasaran, beliau berkata komponen dan aksesori itu biasanya dijual di pasaran gelap kepada mereka yang ingin mengubah suai motosikal, dengan memberikan contoh brake calipers boleh dijual pada harga RM600 berbanding harga pasaran RM1,000.

-BERNAMA


Pengarang :