AGENDANASIONAL

Polis rampas rokok seludup dan kenderaan RM4.3 juta

KUALA LUMPUR, 25 DIS: Polis menahan tiga lelaki dan merampas 25,840 karton rokok seludup serta lima kenderaan pelbagai jenis dianggar bernilai RM4.3 juta menerusi operasi khas membanteras sindiket pengedaran rokok seludup, Op Asap di sebuah rumah di Tapah, Perak, kelmarin.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata mereka yang ditahan terdiri daripada dua lelaki tempatan dan seorang warga Bangladesh berusia 26 hingga 47 tahun.

“Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata semakan mendapati 24,700 karton rokok putih dan 1,140 karton rokok jenis kretek jenama ‘Concept’ itu menggunakan setem kastam ‘Duty Paid’ yang disyaki palsu.

Katanya, lima kenderaan yang dirampas pula terdiri daripada masing-masing sebuah kereta Honda Accord, pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dan motosikal Honda Ex-5 serta dua buah lori.

-BERNAMA


Pengarang :