AGENDANASIONAL

Pos Malaysia lancar setem edisi khas ‘Star Wars’

SHAH ALAM, 20 DIS: Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) melancarkan setem edisi terhad bertemakan Star Wars dengan kerjasama The Walt Disney Company Malaysia pada 18 Disember lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Syed Md Najib Syed Md Noor berkata, kesemua setem itu mula ditawarkan untuk pra pembelian di dalam talian Pos Malaysia menerusi www.eziemall.com, manakala pembelian secara ‘walk in’ bermula 2 Januari depan di 13 Pejabat Pos Besar seluruh negara.

“Menariknya, setiap siri itu memaparkan 10 setem khas dengan watak ikonik Star Wars antaranya Rey, Lando Calrissian dan watak kegemaran sepanjang masa, Chewbacca serta C-3PO.

“Manakala, kenderaan Star Wars dan robot yang popular juga dipaparkan seperti ‘Poe Dameron’s X-Wing’, ‘the Imperial TIE Fighter’ dan ‘fastest hunk of junk in the galaxy – the Millenium Falcon’,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Syed Md Najib berkata, koleksi itu dijual pada harga RM120 dengan set lengkap terdiri daripada dua keping setem bertebuk ‘The First Order’ dan ‘The Resistance’.

Katanya, turut terdapat pek khas yang memaparkan lembaran mini tiga keping setem robot Star Wars yang popular.

“Pek khas itu dilengkapi dengan poskad yang boleh dikoyakkan dan satu sampul ‘Millennium Falcon’ juga ditawarkan pada harga RM10 sahaja,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan butiran lanjur berkenaan setem itu boleh menghubungi Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia di talian 03-2267 2267 atau e-mel [email protected].


Pengarang :