Timbalan Presiden Pakatan Harapan Mohamad Sabu. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PRK Kimanis: Kerja keras pastikan kemenangan calon PAKATAN

KLANG, 31 DIS: Parti Amanah Negara (AMANAH) akan bekerja keras bagi memenangkan calon Pakatan Harapan (PAKATAN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Presidennya, Mohamad Sabu berkata beliau sendiri akan turun padang memberi sokongan pada hari penamaan calon, 4 Januari ini.

“Saya juga akan hadir pada hari penamaan calon dan jentera kita akan bekerja kuat bagi memastikan calon dari PAKATAN menang,” katanya yang juga Menteri Pertahanan.

Beliau berkata ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kembali Ke Sekolah oleh Persatuan Kebajikan Amal Wanita Selangor, Sumbangan Perayaan Krismas oleh Kasih Malaysia dan Penyerahan Geran Tahunan kepada Ketua Kampung dan Ketua Komuniti India di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kota Raja di sini hari ini.

PRK Kimanis diadakan berikutan Mahkamah Khas Pilihan Raya memutuskan kemenangan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebagai tidak sah dan batal.

Pada 16 Ogos lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya menolak kemenangan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman kerana mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya, sekali gus membenarkan petisyen dikemukakan bekas calon WARISAN, Datuk Karim Bujang.

Keputusan itu dikekalkan Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan Anifah pada 1 Disember lalu, sekali gus mengesahkan kekosongan kerusi berkenaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pengundian awal dan pengundian biasa masing-masing pada 14 dan 18 Januari.


Pengarang :