AGENDANASIONAL

PRK Parlimen Kimanis pada 18 Januari

PUTRAJAYA, 16 DIS: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, Sabah pada 18 Januari.

Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun pada sidang media hari ini berhubung pengurusan pilihan raya kecil itu di sini hari ini berkata tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 4 Januari.

Mahkamah Persekutuan baru-baru ini mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman bagi Parlimen Kimanis dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Mei tahun lepas.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos lepas memutuskan bahawa kemenangan Anifah di Parlimen Kimanis pada PRU14 itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Pada PRU14, Anifah yang juga bekas Menteri Luar bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) dan memenangi kerusi Parlimen Kimanis itu dengan majoriti 156 undi apabila memperoleh 11,942 undi.

PRU14 menyaksikan pertandingan tiga penjuru di antara Anifah bersama calon Parti Warisan Sabah Datuk Karim Bujang yang mendapat 11,786 undi manakala calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail memperoleh 1,300 undi.

Pada 18 Jun 2018, Karim memfailkan petisyen bagi mencabar kemenangan Anifah.

Anifah pula mengumumkan keluar UMNO, parti komponen BN pada September 2018.

PRK Parlimen Kimanis ialah PRK ke-10 diadakan sejak Pakatan Harapan memenangi PRU 14 pada 9 Mei, 2018.

PRK terakhir diadakan sebelum ini ialah PRK Tanjung Piai pada bulan lepas.

-BERNAMA


Pengarang :