Sebahagian Graduan Program Latihan Hos Komuniti Selangor bergambar pada majlis graduasi program itu pada 7 Disember 2019. – Foto Tourism Selangor
EXCOSELANGOR

Program Hos Komuniti lahir 51 pemandu pelancong

SHAH ALAM, 10 DIS: Program Latihan Hos Komuniti Selangor berjaya melahirkan 51 pemandu pelancong di enam daerah membabitkan Klang, Hulu Langat, Kuala Langat, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

EXCO Kebudayaan, Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, ia adalah usaha proaktif Kerajaan Negeri dalam memartabatkan industri pelancongan, seterusnya membangunkan ekomoni setempat di kesemua daerah negeri ini.

Katanya, ini kerana industri pelancongan berdasarkan lokaliti mampu memperkasa industri berkenaan secara keseluruhan dan ia perlu dimulakan dari teras.

“Dengan sokongan penuh yang diterima dari Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia atau (MOTAC) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia.

“Angka ini dijangka akan terus meningkat dari tahun ke tahun lantaran sasaran Tourism Selangor terhadap pelaksanaan Program Latihan ini yang akan diperluas ke keseluruhan sembilan daerah menjelang 2020,” katanya pada Majlis Graduasi Hos Komuniti pada 7 Disember lalu.

Pada majlis itu, seramai 30 graduan dari kumpulan kedua Program Latihan Hos Komuniti Selangor diraikan.

Datuk Abdul Rashid Asari bersama Pemangku Pengurus Besar Tourism Selangor, Mohammad Zaim Mohammad Nashir menerima penerangan tentang peta budaya daerah yang dihasilkan oleh graduan Hos Komuniti Selangor. – Foto Tourism Selangor

Abdul Rashid berkata, Kerajaan Negeri menerusi Tourism Selangor meneruskan komitmen memasuki tahun kedua bagi penganjuran program latihan iaitu sebuah program perintis atau yang pertama seumpamanya di Malaysia.

“Program Latihan Hos Komuniti Selangor memegang aspirasi menjadikan pelancongan sebagai salah satu medium pembangunan komuniti.

“Dengan itu, Hos Komuniti dilatih untuk menjadi ‘story-tellers’ kepada pelancong atau ‘master minds’ dalam inisiatif promosi pelancongan serta pemerkasaan komuniti setempat.

“Hal ini membuktikan keupayaan mereka dalam menggalas tanggungjawab yang diberikan demi memacu Kempen Promosi Daerah yang lebih mampan dan komprehensif,” katanya.

Graduan Program Latihan Hos Komuniti Selangor mengikuti latihan selama enam bulan merangkumi silibus pengenalan terhadap sektor perkhidmatan dan hospitaliti dan kemahiran penting yang perlu diaplikasi bagi pengurusan promosi pelancongan yang sistematik.

Antaranya seperti kemahiran multimedia bagi memperkasa penguasaan teknologi, rangkaian bagi meluaskan jaringan perhubungan pelancongan, serta komunikasi untuk melancarkan interaksi dengan pelancong dalam Bahasa Melayu juga Inggeris.


Pengarang :