EXCOSELANGOR

Program Komuniti Selamat Bersepadu atasi keganasan rumah tangga

SHAH ALAM, 9 DIS: Selangor muncul negeri pertama menubuhkan Program Komuniti Selamat Bersepadu bagi mengatasi keganasan domestik terutama membabitkan isu rumah tangga.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata projek perintis itu dijalankan dengan usahama Pertubuhan Pertolongan Wanita sebagai inisiatif untuk memperkasakan komuniti.

Katanya masyarakat khususnya dari peringkat akar umbi dijangka akan mendapat maklumat lebih cepat dan tepat apabila terlibat dengan isu keganasan domestik.

“Mengikut laporan United Nation, kira-kira 15 peratus wanita di dunia menghadapi keganasan domestik membabitkan rumah tangga.

“Untuk makluman juga, Selangor mencatatkan kes keganasan rumah tangga tertinggi iaitu sebanyak 91 kes (27 peratus) daripada 340 kes yang dilapor ke Jabatan Kebajikan Masyarakat dari awal tahun ini sehingga Jun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi bual bicara ‘Selangor Safe Community Initiative’ di Bernama News Channel, malam tadi.

Pada masa sama, Siti Mariah menjangkakan laporan kes keganasan domestik akan melonjak susulan kesedaran dalam kalangan masyarakat meningkat setelah program itu dilancarkan minggu lalu.

Katanya program berkenaan akan melibatkan Kerajaan Negeri, aktivis sosial, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung dan ketua kampung.

“Saya berharap projek rintis ini akan diikuti oleh negeri lain kerana isu keganasan domestik berlaku di semua kawasan, bukan sahaja di Selangor,” katanya.


Pengarang :