AGENSISELANGOR

Program Return to Work PERKESO bantu cari kerja

SHAH ALAM, 6 DIS: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Selangor mengambil peduli dengan menyediakan program Return to Work (RTW) bertujuan membentuk golongan sasar menjadi modal insan produktif, sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara.

Penolong Pengarah Cawangan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) PERKESO Selangor, Emy Baizura Hakke berkata, pada tahun ini direkodkan sebanyak 189 kes orang berinsurans hilang upaya kekal dan keilatan hilang pekerjaan.

Bagaimanapun, katanya, daripada jumlah itu seramai 103 individu sudah kembali bekerja manakala bakinya sedang mencari pekerjaan.

“Ini adalah program komprehensif kepada orang berinsurans yang mengambil keilatan atau hilang upaya kekal menyebabkan mereka dikategori sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Tarikh 3 Disember 2019 sebenarnya bukan sekadar sambutan OKU Sedunia dengan kita meraikan OKU serta jemputan diberi makan minum seperti hari perayaan.

“Tetapi, sambutan OKU Sedunia sepatutnya menjadi hari untuk menyedarkan masyarakat bahawa masih ramai OKU didiskriminasi dan dipinggirkan di negara ini sampai hari ini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas penganjuran program Temu Duga Terbuka RTW kepada golongan berkenaan yang diadakan di Wisma PERKESO Selangor di sini pada 2 Disember lalu.

Emy Baizura berkata, PERKESO akan cuba membantu mereka terutama orang berinsurans melalui Unit Pencarian Pekerjaan dan RTW mendapat semula pekerjaan.

Terdapat dua syarikat iaitu Federal Express Services (M) Sdn Bhd dan Pizza Hut Customer Service Centre bersama menawarkan pekerjaan pada hari terbuka itu.

Seramai 49 OKU mencuba nasib dan 11 orang diterima untuk bekerja pada temu duga tersebut.


Pengarang :