Siti Zubaidah Abdul Jabar (tengah, barisan kedua) bergambar bersama peserta Program Usahawan Siswazah (GROW) PKNS 2019 di sini hari ini. Foto ihsan PKNS
AGENSISELANGOR

Program Usahawan Siswazah PKNS catat jualan RM7.17 juta

OLEH ALIFF HAIKAL

SHAH ALAM, 19 DIS: Program Usahawan Siswazah (GROW) Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berjaya mencatat jualan RM7.17 juta bagi tempoh April hingga September lalu.

Ketua Pegawai Korporat PKNS, Siti Zubaidah Abdul Jabar berkata jumlah itu meningkat empat kali ganda berbanding tahun lalu yang hanya mencatatkan RM1.8 juta.

“Faktor peningkatan jualan tahun ini adalah pertambahan bilangan usahawan dan trend pembelian secara dalam talian.

“Contohnya, ada penuntut universiti awam yang menyertai GROW berjaya meningkatkan jualan kek sehingga 300 peratus dengan hanya memanfaatkan tempahan menerusi dalam talian,” katanya kepada pemberita pada Majlis Graduasi GROW PKNS 2019 di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 30 usahawan yang berjaya menamatkan modul di bawah program GROW diraikan.

Sementara itu, Siti Zubaidah berkata sehingga kini GROW mempunyai 333 peserta dengan hasil jualan keseluruhan syarikat sebanyak RM26 juta dari 2006 hingga 2019.

“PKNS akan terus menyokong usaha program ini supaya konsisten melahirkan usahawan baharu yang memiliki semangat keusahawanan tinggi dan berdaya saing.

“Diharap dengan landasan yang disediakan ini mampu memberi peluang kepada peserta untuk mempelajari selok belok perniagaan dengan mengikuti bengkel oleh tenaga pengajar,” katanya.

GROW bertujuan membangun dan membimbing usahawan siswazah dalam merancang, melaksanakan strategi pemasaran serta jualan yang inovatif.

Program itu membabitkan tiga sektor iaitu perkhidmatan, peruncitan dan pembuatan seperti kafe berkonsepkan kebun Inggeris dan kedai penapis haba kenderaan.


Pengarang :