Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Projek Bandar Malaysia bukti kerjasama baik Malaysia-China

PUTRAJAYA, 17 DIS: Penerusan projek Bandar Malaysia membuktikan kerjasama baik yang terjalin antara Malaysia dan China, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, sepertimana Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), projek Bandar Malaysia diteruskan dalam konteks lebih besar dari segi jalinan dan hubungan dua hala dan perdagangan jangka panjang antara Malaysia dan China.

“Ia dilaksanakan dengan objektif yang amat jelas – bahawa projek itu menyediakan nilai ekonomi premium kepada negara,” kata perdana menteri dalam ucaptama pada majlis pemeteraian perjanjian Bandar Malaysia antara TRX City Sdn Bhd (TRXC) dan IWH CREC Sdn Bhd (IWH-CREC) bagi membangunkan Bandar Malaysia, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata pelan bagi Bandar Malaysia yang disemak semula turut mengambil kira dasar kerajaan bagi memastikan projek pembangunan mega seumpama itu adalah berpaksikan rakyat, menambah nilai besar kepada ekonomi negara dan selaras dengan falsafah kerajaan iaitu Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.

“Pelan pembangunan yang disemak semula bagi Bandar Malaysia akan memastikan ia akan menjadi lebih terangkum dan diselaraskan dengan pertumbuhan sosio-ekonomi Malaysia,” katanya.

Perdana menteri berkata Bandar Malaysia akan memberikan impak signifikan terhadap ekonomi Malaysia berikutan ia akan berperanan sebagai hab untuk menarik lebih banyak syarikat multinasional berimpak tinggi global serta menawarkan potensi tindakan bersama dalam bidang kewangan, teknologi dan keusahawanan.

“Dengan jangkaan nilai pembangunan kasar atau GDV RM140 bilion, ia akan menjana impak besar terhadap pembangunan bandar untuk Malaysia bagi menarik lebih banyak pelaburan langsung asing,” katanya.

Dr Mahathir berkata projek Bandar Malaysia juga perlu dilihat dalam konteks pembangunan jangka panjang bagi tempoh lebih 20 tahun.

Beliau menggariskan bagaimana ia turut menyediakan peluang untuk mencorakkan hala tuju Kuala Lumpur dalam beberapa dekad akan datang; bagaimana potensinya sebagai hab pengangkutan ia akan mengubah cara orang ramai melakukan perjalanan; bagaimana sebagai pusat komersial ia dapat menawarkan dorongan berterusan bagi perdagangan dan inovasi; dan bagaimana sebagai pembangunan lestari dan tempat tinggal selesa dalam era peningkatan kesedaran terhadap kepentingan alam sekitar, ia boleh menjadi model kehidupan berkualiti di bandaraya.

“Jika ia memenuhi harapan kami (kerajaan), Bandar Malaysia akan menambah nilai kepada ekonomi menerusi pewujudan banyak peluang kerja, memacu permintaan runcit dan keinstitusian bagi ruang komersial dan kediaman.

“Dalam perjalanan itu, kita akan meningkatkan perusahaan kecil dan sederhana dalam rantaian nilai dan merangsang permintaan terhadap bahan binaan keluaran Malaysia, teknologi dan bakat tempatan dalam memacu pertumbuhan bandar lestari,” kata Dr Mahathir.

Projek Bandar Malaysia di kawasan seluas 486 ekar (197 hektar) merupakan kawasan pembangunan terbesar di tengah-tengah Kuala Lumpur. Ia terletak di tapak bekas pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Jalan Sungai Besi.

Bandar Malaysia bakal menjadi contoh pembangunan bercampur pada standard tertinggi yang menyaksikan alam semulajadi, kebudayaan dan kreativiti menjadi intipati penting dalam kehidupan seharian. Ia juga menyasarkan untuk menarik syarikat teknologi dan usahawan Fortune 500 untuk menempatkan pejabat serantau mereka di Kuala Lumpur.

-BERNAMA


Pengarang :