AGENDA NASIONAL

Projek basmi penagih dadah diteruskan tahun depan

PETALING JAYA, 19 DIS: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) akan meneruskan projek rintis menangani masalah penagihan dadah dan masalah sosial bagi fasa kedua, bermula Januari tahun hadapan.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, projek rintis bagi fasa pertama yang dilancarkan pada 1 Julai lepas di 12 kawasan di tujuh negeri, akan berakhir pada Disember ini.

Menurutnya, fasa kedua akan dilaksanakan di kawasan sama, serta melibatkan lebih banyak badan bukan kerajaan (NGO) dalam memberikan kaunseling kepada mereka, yang terbabit dengan dadah.

“Hasil maklumat yang diterima pada fasa pertama ini, akan dilihat untuk ditambah baik segala kekurangan, untuk diteruskan enam bulan lagi pada fasa kedua,” katanya pada sidang media selepas Program Tinjauan Mesra dan Sembang Santai AADK, di tapak pasar malam, Taman Medan di sini, semalam.

Zulkifli berkata, hasil daripada projek yang dilaksanakan antaranya di Flat Sri Mentari Petaling di Selangor; Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Bonus, Kuala Lumpur; Felda Keratong 3, Pahang; Pengkalan Chepa, Kelantan dan Parit Sulong di Johor itu, akan diperkemaskan, sebelum dijadikan model yang disasarkan untuk digunakan di seluruh negara bermula 2021.

Katanya, projek fasa pertama itu juga menunjukkan kesan positif, dengan pengurangan kes jenayah kecurian yang didapati menurun hampir 13.9 peratus dalam tempoh enam bulan pelaksanaan.

“Selain itu, kes pelajar ponteng sekolah juga berkurangan kepada 45.8 peratus, serta berjaya membersihkan 52.3 peratus port penagihan, dan aduan berkaitan dadah juga menurun 24.2 peratus,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :