AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Rakaman audio berlaku kacau bilau perkauman tidak benar

KUALA LUMPUR, 6 DIS: Rakaman beberapa audio yang tular di media sosial mendakwa akan berlaku kacau-bilau perkauman pada Sabtu dan Ahad ini adalah tidak benar, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor.

Beliau berkata, rakaman audio berkenaan adalah palsu yang dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan niat untuk menakutkan serta membangkitkan kegusaran masyarakat.

“Oleh itu, polis menasihatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya menggunakan platform media sosial serta lain-lain rangkaian komunikasi untuk menyebar maklumat palsu sehingga boleh membangkitkan sentimen perkauman atau menyentuh sensitiviti keagamaan.

“Selain itu, orang ramai dinasihatkan untuk menghubungi pihak polis bagi tujuan pengesahan jika terkesan dengan berita yang meragukan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Mazlan berkata, polis memberi amaran dan melarang berkongsi serta menularkan berita-berita sedemikian kerana ia boleh menjejaskan keharmonian kaum serta kesejahteraan negara.

Baru-baru ini tular di media sosial, beberapa rakaman audio mendakwa akan berlaku kacau-bilau perkauman pada 7 dan 8 Disember ini dan meminta orang ramai untuk tidak keluar rumah pada dua hari berkenaan.

– BERNAMA


Pengarang :