Pemandangan gunung berapi White Island mengeluarkan kepulan asap putih yang dirakamkan menerusi Helikopter Penyelamat Auckland pada 9 Oktober 2019. – Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Rakyat Malaysia dikhuatiri maut letusan gunung berapi di New Zealand

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Sekurang-kurangnya seorang rakyat Malaysia antara lapan yang dikhuatiri maut dalam insiden letusan gunung berapi di White Island, New Zealand semalam.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman facebook hari ini, berkata pihak berkuasa New Zealand memaklumkan bahawa sekurang-kurangnya seorang mangsa adalah rakyat Malaysia.

Seorang jurucakap ketika dihubungi Bernama pagi ini memberitahu pihaknya sedang menjalankan misi mengumpul maklumat mangsa terlibat.

“Mereka kini mengadakan mesyuarat mengenai kejadian itu dan buat masa ini kami tidak dapat mendedahkan maklumat lanjut,” katanya.

Ledakan gunung berapi yang berlaku di White Island, yang juga dikenali sebagai Whakaari, 48 kilometer dari North Island New Zealand, meletuskan abu dan wap besar di udara ketika sekumpulan pelancong mengunjungi pulau itu. Setakat ini lapan orang tidak dapat dikesan dan usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan.

Sementara itu, jurucakap Wisma Putra berkata, pihaknya bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi di Wellington dan pihak berkuasa tempatan di sana bagi mendapatkan butiran mangsa.

“Kami sedang mengusahakan perincian mengenai lokasi mangsa… di hospital mana mangsa dihantar… Setakat ini saya tidak mempunyai maklumat mengenainya dan selepas kami mendapatkan semua maklumat, kami akan memaklumkannya,” katanya kepada Bernama.

Suruhanjaya Tinggi juga menasihati rakyat Malaysia yang melakukan perjalanan berhampiran rantau itu supaya berhati-hati dan mengikut arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Mereka yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi di talian

“+ 64-43852439 / + 64-210440188 (selepas waktu kerja) atau e-mel [email protected],” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :