Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Rakyat perlu lebih bertanggungjawab guna teknologi, komunikasi alam maya – Agong

PEKAN, 7 DIS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menitahkan supaya rakyat Malaysia lebih bertanggungjawab dalam penggunaan teknologi moden dan komunikasi alam maya.

Seri Paduka bertitah kemajuan teknologi dan komunikasi tidak seharusnya disalah guna dalam perkara yang boleh menggugat perpaduan dan keharmonian negara.

“Perbuatan menyebar fitnah, berita palsu dan kenyataan yang boleh menggugat keharmonian serta perpaduan negara merupakan satu perbuatan terkutuk yang tidak bertanggungjawab.

“Saya menyeru kepada sekalian rakyat untuk lebih bertanggungjawab dan menghargai keharmonian negara. Teknologi moden sewajarnya dijadikan alat untuk kesejahteraan rakyat dan mencipta kejayaan, bukannya merosakkan negara,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada Majlis Konvokesyen keenam DRB-Hicom University of Automotive Malaysia di sini hari ini, yang keseluruhannya melibatkan 686 graduan yang masing-masing menerima ijazah sarjana, sarjana muda, diploma dan sijil.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Berhad Datuk Seri Syed Faisal Albar, Naib Canselor DRB-Hicom University of Automotive Malaysia Datuk Prof Dr Omar Osman, Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Ketua Polis Pahang Datuk Abd Jalil Hassan.

Mengenai kemajuan teknologi moden dan komunikasi alam maya, Al-Sultan Abdullah bertitah institusi pengajian tinggi juga perlu melakukan pelbagai transformasi agar dapat menyediakan graduan untuk menghadapinya.

Titah Seri Paduka, kehadiran teknologi membawa revolusi perindustrian keempat yang memberi impak kepada kehidupan dan landskap dunia masa hadapan yang mana teknologi dan sistem maklumat akan menggantikan manusia dalam kebanyakan pekerjaan.

“Institusi pengajian tinggi hendaklah menawarkan kursus pelbagai disiplin yang menjurus kepada teknologi di samping menerapkan kemahiran inter-personal, komunikasi, kerja berpasukan dan kepimpinan,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah yang juga Canselor universiti itu juga menyentuh mengenai kata semangat tertera pada dinding dewan itu, yang menarik perhatian baginda kerana disifatkan sebagai ‘pesanan yang baik’.

Pesanan itu mengingatkan supaya seseorang tidak berputus asa walaupun berdepan kegagalan sebanyak 100 kali kerana ia bermaksud terdapat 100 kali peluang untuk mencuba dan sedikit inovasi dapat membawa kejayaan pada masa depan.

“Saya harap ini akan menjadi pendoman kepada anak muda supaya tidak takut dengan kegagalan… sebaliknya lihat ia sebagai peluang untuk kita berjaya dengan lebih baik daripada apa yang kita ada sekarang,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan tahniah kepada semua graduan dan ibu bapa serta pengurusan universiti itu yang pada hari ini, menyaksikan 18 graduan kumpulan pertama program Ijazah Sarjana menerima skrol mereka.

Seri Paduka turut menyentuh mengenai kejayaan universiti yang kini menawarkan 45 program asasi, diploma, ijazah sarjana muda dan pengajian pasca siswazah mengkhusus kepada eko-sistem otomotif, yang disifatkan baginda sebagai pencapaian membanggakan selepas dinaik taraf kepada universiti pada Oktober 2015.

“Saya telah disembah maklum bahawa universiti ini telah memperkenalkan pembelajaran pengalaman kampus maya yang membolehkan pelajar tidak perlu hadir ke kampus untuk mengikuti sesi pembelajaran.

“Universiti ini juga telah mengorak langkah dengan melancarkan program akademik menerusi kaedah pembelajaran berasaskan kerja yang dijayakan melalui kerjasama dengan Composite Technology Research Malaysia yang dapat memberi pendedahan yang lebih jelas kepada teknologi yang diguna pakai di dunia serba moden,” titah Seri Paduka.

-BERNAMA


Pengarang :