Para pemain pasukan Unggul bersama jurulatih Zakry Latif menjuarai perlawanan akhir badminton Juara Tangkis Piala Tun Dr Siti Hasmah di Dewan Seri Sarjana, UNITEN hari ini. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Rashid setuju wujud program pembangunan khas badminton

BANGI, 22 DIS: Sukan badminton di Malaysia perlu mengikut jejak langkah sukan bola sepak dan ragbi, yang memiliki program pembangunan akar umbi, susulan kemerosotan prestasi pemain negara di peringkat remaja.

Perkara itu disokong legenda perseorangan badminton negara Rashid Sidek yang merasakan kewujudan program pembangunan seperti Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) satu langkah tepat memastikan Malaysia tidak terus ketinggalan jauh berbanding Thailand, Indonesia dan China yang telah mula menyinar di peringkat remaja.

Namun katanya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu menyediakan sejumlah peruntukan yang besar dan konsisten, sebelum program seumpama itu diwujudkan.

“Dari pandangan peribadi saya, ya, memang kalau ikutkan, kita patut ada program seperti itu, kalau mempunyai bajet yang cukup. Kalau tanpa bajet memang sukar untuk kita lakukan,” katanya pada sidang media perlawanan akhir Kejohanan Juara Tangkis Tun Dr Siti Hasmah di sini, hari ini.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Atlanta 1996 itu berkata demikian ketika ditanya keperluan sukan badminton di Malaysia memiliki program pembangunan akar umbi susulan kemerosotan prestasi Malaydia di peringkat remaja.

Skuad remaja negara mencetuskan kebimbangan apabila pulang dengan tangan kosong dalam dua kejohanan utama tahun ini – Kejohanan Badminton Remaja Asia di China, Julai lepas dan Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Rusia, pada Oktober.

Beliau yang kini ketua jurulatih kelab badminton Sports Affairs itu berkata, tugasnya adalah melatih dan membentuk pemain ke arah menjadi seorang juara, namun satu platform lebih tinggi diperlukan, bagi membolehkan para permain memperoleh pengalaman.

“Untuk program seperti NFDP itu, semua kalau dalam badminton kita memang bergantung kepada program sedia ada BAM. Sebagai kelab, kita tambahan untuk dapatkan bakat-bakat baru dan melatih mereka jadi juara.

“BAM boleh ambil pemain-pemain ini untuk diserap masuk ke dalam BAM. Kita tidak keberatan, kerana sebelum ini kita pernah buat macam itu,” tambahnya.

Sementara itu, Rashid yang merupakan pengarah program kejohanan yang julung kali diadakan itu, menyifatkan beberapa bakat muda dikenal pasti, dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) di sini.

Pasukan Unggul bimbingan bekas pemain badminton negara Mohd Zakry Abdul Latif, dinobatkan sebagai juara, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM20,000 dan piala pusingan.

“Saya sangat berbangga menyaksikan semangat juang dan kesungguhan pemain, yang mempamerkan komitmen tinggi sebagai satu pasukan, di usia sangat muda. Ini hanyalah satu permulaan dan percaya dengan usaha berterusan, mereka akan muncul juara pada masa depan,” kata Rashid.

-BERNAMA


Pengarang :