EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han
EXCOSELANGOR

Rebut peluang akhir program pemutihan kilang haram

SHAH ALAM, 16 DIS: Kerajaan Negeri menggesa semua pemilik kilang haram di Selangor menjalankan operasi secara sah melalui proses pemutihan sekiranya tidak mahu dikenakan tindakan tegas selepas tempoh pemutihan terbabit tamat pada 30 September 2020.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, Kerajaan Negeri mahu semua pemilik kilang haram manfaatkan peluang terkahir itu memandangkan ia telah dilanjutkan selama setahun bermula 1 Okober lalu.

“Tempoh setahun yang bermula 1 Oktober hingga 30 September 2020 merupakan lanjutan kali tujuh sejak program ini dilaksanakan pada 2008.

“Saya menyeru kepada pemilik kilang haram agar manfaatkan peluang ini. Ini adalah proses pemutihan yang terakhir jadi gunakan peluang yang diberikan sebelum tindakan tegas dilaksanakan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sesi Dialog Kali Ketiga Program Pematuhan Syarat dan Penguatkuasaan Kilang Tanpa Kebenaran, di Dewan Rafflesia Seksyen U16, di sini.

Sesi dialog itu membabitkan pemilik tanah dan penguasaha kilang yang berada di Seksyen U3, U6 dan U9 Shah Alam.

Sze Han berkata, sekiranya pemilik masih berdegil, pihak bertanggungjawab boleh merampas tanah tapak kilang haram selaras dengan Seksyen 130 Kanun Tanah Negara 1965.

“Pentadbir tanah boleh mengeluarkan denda tidak kurang dari RM500 serta kompaun harian berjumlah RM100. Tindakan itu selari dengan Seksyen 127(1A)(a) dan 127(1A)(b) Kanun Tanah Negara 1965,” katanya.


Pengarang :