Jersi yang akan disarungkan pasukan Red Giants pada Kejohanan Meizhou Hakka Cup di Meizho, China bermula 24 hingga 29 Januari depan. Foto Twitter FA Selangor
AGENDASUKANKINI

Red Giants sah sertai kejohanan Meizhou Hakka Cup

SHAH ALAM, 23 DIS: Skuad The Red Giants mengesahkan penyertaan pada kejohanan bola sepak jemputan Meizhou Hakka Cup di Meizho, China bermula 24 hingga 29 Januari depan.

Perkara itu dimaklumkan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menerusi ciapan terbaharu di laman sosial Twitter kelab berkenaan, semalam.

Selain Selangor, tuan rumah Meizhou Hakka FC bakal melayan kunjungan kelab divisyen 1 Thailand, Chonburi FC dan kelab divisyen 1 Korea Selatan, Sangju Sangmu sepanjang lima hari kejohanan itu berlangsung.

Meizho Hakka adalah kelab yang diasaskan sejak 2013 daripada divisyen 2 Liga China dan pasukan terbabit menghuni tangga ke-10 dengan pungutan 39 mata sepanjang musim 2019.

Bagi skuad kendalian B Sathianathan, kejohanan itu menjadi medan terbaik untuk menguji sejauh mana keupayaan mereka beraksi di pentas Asia sebelum mengharungi saingan mendebarkan Liga Malaysia 2020.

Bagaimanapun, sebelum sepak mula kejohanan terbabit, kelab yang diterajui Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah itu akan menganjurkan Kejohanan Asia Challenge 2020 pada 18 dan 19 Januari di Stadium Shah Alam di sini.

Difahamkan, kejohanan julung kali itu membabitkan penyertaan tiga pasukan terbaik dari negara jiran antaranya Bangkok United FC (Thailand), Hanoi FC (Vietnam) dan Persib Bandung (Indonesia).

Bagi menyaksikan kejohanan berkenaan, penyokong Selangor boleh mendapatkan tiket menerusi laman sesawang FAS pada hari kejohanan dengan harga serendah RM15 (pemegang kad Red Giants), RM30 (bukan pemegang kad) dan RM5 (kanak-kanak).


Pengarang :