AGENDANASIONAL

Ringgit dibuka rendah berikutan permintaan lebih baik terhadap dolar AS

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan permintaan lebih baik terhadap mata wang negara maju itu di tengah-tengah data ekonomi AS yang memberangsangkan.

Pada jam 9.01 pagi, ringgit diniagakan pada 4.1610/1640 berbanding dolar AS daripada 4.1580/1610 ketika diitutup pada Jumaat.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Asia, AxiTrader, Stephen Innes berkata hasil perbendaharaan bertempoh 10 tahun AS naik tiga mata asas kepada 1.84 peratus meskipun Pemprosesan Data Automatik menunjukkan bacaan lemah pada awal minggu ini.

Beliau berkata selain itu data pembayaran gaji AS bagi November jauh lebih tinggi berbanding jangkaan, meningkat 266,000 dengan semakan menaik.

“Keuntungan pekerjaan AS melonjak semula pada November memandangkan kadar pengangguran menepati paras terendah baharu bagi tempoh setengah abad serta gaji pula mengatasi jangkaan.

“Ini sekali gus memberi lebih banyak asas untuk Rizab Persekutuan mengekalkan kadar faedah tidak berubah selepas pengurangan sebanyak tiga kali,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, RHB Research berkata ringgit kekal stabil pada RM4.18 bagi November berbanding bulan sebelumnya.

“Ini selepas pasaran mengimbangi pertumbuhan yang lebih lemah dengan prospek lebih optimis terhadap perang perdagangan.

“Bagi 2019 setakat ini, ringgit susut 1.1 peratus, meneruskan penurunan yang dicatatkan pada 1.8 peratus ketika 2018,” menurutnya dalam nota penyelidikan.

Meskipun wujud cabaran negatif dan ketidaktentuan jangka terdekat, firma penyelidikan itu menjangkakan ringgit diniagakan dalam lingkungan 4.05 hingga 4.20 sebelum stabil pada RM4.15 berbanding dolar AS bagi mengakhiri 2019.

“Kami menjangkakan ringgit mengukuh kepada 4.00 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun depan 2020.

“Kami berpandangan kelemahan ekonomi AS dalam keadaan perang perdagangan dan ketiadaan sokongan pengurangan cukai korporat akan menyebabkan Rizab Persekutuan AS akan mengurangkan lagi kadar faedahnya, sekali gus melemahkan dolar,” menurutnya.

Ringgit diniagakan rendah kebanyakannya berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan tinggi berbanding euro kepada 4.6000/6037 daripada 4.6137/6179 pada Jumaat dan tidak berubah berbanding dolar Singapura kepada 3.0571/0604 daripada 3.0571/0605.

Ringgit susut berbanding yen pada 3.8315/8346 daripada 3.8284/8315 pada minggu lepas serta lemah berbanding pound British kepada 5.4684/4740 daripada 5.4570/4613.

-BERNAMA


Pengarang :