AGENDANASIONAL

Ringgit terus mengukuh berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 30 Dis: Ringgit meneruskan momentum pengukuhannya pada minggu lalu apabila dibuka lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini, disokong sentimen positif ke atas mata wang tempatan.

Ketua Strategi Pasaran Asia AxiTrader Stephen Innes berkata unjuran ke atas ringgit kekal positif memandangkan risiko semakin menurun susulan perkembangan terbaru perjanjian perdagangan AS-China.

Pada 9 pagi, ringgit didagangkan pada 4.1180/1230 berbanding dolar AS, daripada 1260/1290 pada penutupan Jumaat.

Ringgit terus didagangkan dengan baik didorong perjanjian perdagangan tersebut, yang seterusnya meningkatkan sentimen ke atas risiko tempatan, selain harga minyak yang lebih kukuh,” katanya kepada Bernama.

Innes berkata harga minyak mentah Brent, yang didagangkan pada paras tertinggi dalam tempoh tiga bulan pada US$66.89 setong, akan memberi manfaat kepada industri minyak dan gas di pasaran tempatan.

“Ini akan mendorong aliran masuk memandangkan ketiadaan risiko daripada perdagangan dan memberi manfaat ke atas perdagangan eksport menggunakan mata wang yang sensitif seperti ringgit,” katanya.

Sementara itu, ringgit didagangkan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Nota tempatan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0463/0511 berbanding 3.0491/0524 pada Jumaat lepas, dan tinggi berbanding yen Jepun kepada 3.7628/7684 daripada 3.7680/7718.

Ringgit menyusut berbanding pound British kepada 5.3933/4003 daripada 5.3927/3970 dan rendah berbanding euro kepada 4.6068/6136 daripada 4.5951/6001.

-BERNAMA


Pengarang :