Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

RM120 juta naik taraf, pemuliharaan bangunan mahkamah seluruh negara

KUALA LUMPUR, 11 DIS: Kementerian Hal Ehwal Ekonomi memperuntukkan RM120 juta bagi projek naik taraf dan kerja pemuliharaan bangunan mahkamah di seluruh negara untuk memastikan mahkamah dapat menjalankan fungsi dan tanggungjawabnya secara berkesan.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata dalam kenyataan di sini, hari ini, peruntukan itu akan disalurkan secara sekali sahaja dalam Pelan Pelaksanaan Keempat Tahun 2020 di bawah peruntukan pembangunan, dengan tempoh pelaksanaan projek adalah selama dua tahun.

“Kementerian Hal Ehwal Ekonomi mengambil perhatian serius mengenai permohonan untuk menaik taraf dan memulihara kebanyakan bangunan mahkamah yang lama dan mengalami kerosakan kritikal.

“Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan operasi mahkamah malah keselamatan pengguna terutamanya hakim, kakitangan mahkamah, peguam dan orang awam,” katanya.

Justeru kerajaan yakin peruntukan itu akan dapat meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan mahkamah kepada orang awam.

Jelas Mohamed Azmin projek itu melibatkan kerja naik taraf dan pemuliharaan 120 buah mahkamah seluruh Malaysia meliputi pembaikan kritikal antaranya seperti bumbung, dinding, saluran paip, penghawa dingin dan sistem pencegahan kebakaran.

Bilangan mahkamah yang terlibat adalah Johor (13), Melaka (3), Negeri Sembilan (8), Selangor (12), Putrajaya (1), Perak (18), Pulau Pinang (5), Kedah (10), Kelantan (10), Terengganu (6), Pahang (9), Sarawak (5), Sabah (19) dan Labuan (1).

-BERNAMA


Pengarang :