Fuziah Salleh bersama penerima sumbangan pada Program Jom Kembali Ke Sekolah Kawasan Kuantan, hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

RM2.33 juta bantu pelajar kurang berkemampuan

KUANTAN, 22 DIS: Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan memperuntukkan RM2.33 juta daripada kutipan zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebagai pemberian bantuan persekolahan kepada 14,000 pelajar menerusi Program Jom Ke Sekolah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata pemberian kepada pelajar daripada golongan kurang berkemampuan dan asnaf itu mula disampaikan secara berperingkat sejak November lalu sehingga hujung bulan ini.

Menariknya, bantuan berjumlah RM166.50 bagi setiap pelajar termasuk beg, pakaian seragam dan kasut itu juga turut dinikmati oleh pelajar bukan Islam, yang layak untuk menerima bantuan tersebut.

“Di Sabah dan Sarawak contohnya, ramai penerima bantuan program ini bukan beragama Islam seperti dari suku Murut, Kadazan dan sebagainya. Tapi disebabkan ia wang zakat, sebahagian besarnya ialah untuk orang Islam.

“Mereka daripada bukan Islam yang menerima bantuan itu dipilih daripada golongan tidak berkemampuan dan ini sesuai dengan konsep Rahmatan Lil Alamin yang dibawa kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Jom Ke Sekolah 2020 Parlimen Kuantan di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum Sim Chon Siang dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa Zabidi Nasa.

Fuziah berkata pemberian bantuan menggunakan wang zakat juga pernah dijelaskan sebelum ini menerusi fatwa daripada mufti Wilayah Persekutuan bahawa wang zakat boleh dimanfaatkan kepada bukan Muslim yang hatinya lembut dan tidak menentang Islam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuantan menambah, namun yang paling penting ialah pemberian dan agihan itu tidak sampai orang Islam berasa kecil hati, selain ia terpulang kepada fatwa dikeluarkan mufti negeri masing-masing.

“Malah di Wilayah Persekutuan ketika ini juga telah terdapat penerima manfaat wang zakat bukan beragama Islam, contohnya bagi pesakit di pusat-pusat dialisis yang menerima bantuan MAIWP,” katanya.

Bagi Parlimen Kuantan, Fuziah berkata seramai 506 murid terpilih daripada 21 sekolah sekitar kawasan Parlimen ini menerima bantuan tersebut dan daripada jumlah itu, 43 orang bukan beragama Islam.

Beliau berharap pemberian bantuan itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban ibu bapa dalam membuat persiapan persekolahan selain menaikkan semangat pelajar untuk kembali ke sekolah tahun hadapan.

-BERNAMA


Pengarang :