Datuk Seri Rina Mohd Harun (tengah) menyampaikan bantuan beg sekolah kepada penerima pada Program Back to School 2020 @KPLB YPM Peringkat Parlimen Titiwangsa hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

RM3.2 juta laksana program Back To School

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Yayasan Pelajaran Mara (YPM) memperuntukkan RM3.2 juta untuk program Back To School 2020 @KPLB bagi sesi persekolahan tahun hadapan, yang bakal dinikmati 43,520 murid dan pelajar di seluruh negara.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata program itu bertujuan mengurangkan kos perbelanjaan yang ditanggung ibu bapa atau penjaga dalam membuat persiapan awal persekolahan anak-anak mereka.

“Kumpulan sasar yang bakal menerima bantuan ini terdiri daripada murid dan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah terutama bagi mereka yang bersekolah di luar bandar.

“Saya yakin usaha ini dapat memberi galakan kepada mereka (murid dan pelajar) untuk berusaha mencapai kecemerlangan sahsiah dan akademik,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Back To School 2020@KPLB YPM bagi Parlimen Titiwangsa di Sekolah Kebangsaan Desa Pandan, hari ini.

Rina berkata sumbangan bagi program itu akan diagih secara berperingkat sebelum bermulanya sesi persekolahan pada Januari tahun hadapan.

“Mereka yang layak akan diberikan baucar untuk ditukar kepada buku tulis dan barangan asas persekolahan mengikut nilai yang telah ditetapkan, di kedai buku atau koperasi sekolah.

“Saya harap dengan pemberian bantuan terus ke akar umbi ini dapat meningkatkan lagi semangat dan motivasi diri mereka,” katanya.

Bagi program hari ini, Rina berkata seramai 1,000 murid dan pelajar dari 28 sekolah menerima bantuan kembali ke sekolah yang disumbangkan YPM dan Yayasan Kelab-Kelab Rotary Malaysia di Parlimen Titiwangsa.

Yayasan Kelab-Kelab Rotary Malaysia menyumbangkan barangan persekolahan berupa beg sekolah, alat tulis, buku tulis dan botol air yang keseluruhannya bernilai RM60,000 untuk diserah kepada pelajar di sini.

“Saya amat mengalu-alukan penyertaan daripada syarikat korporat atau mana-mana pihak yang berminat untuk sama-sama turut serta menghulurkan bantuan melalui pelbagai program yang dilaksanakan YPM bagi menyebarluaskan liputan bantuan kepada pelajar yang memerlukan, ” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :