V. Ganabatirau bergambar bersama penerima insentif pada Majlis Penyerahan Insentif Program Pembangunan Sukan, Sains, Inovatif dan Kebudayaan (PSIK) di Bangunan SUK, Shah Alam pada 18 Disember 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

RM33,500 diperuntuk kepada SJKT menang dalam pelbagai bidang

OLEH ALIFF HAIKAL

SHAH ALAM, 18 DIS: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM33,500 bagi menghargai sumbangan pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Selangor yang berjaya mencapai kemenangan dalam pelbagai bidang.

EXCO Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau berkata, pada tahun ini, peruntukan Kerajaan Negeri itu diberikan kepada 59 murid daripada semua SJKT yang mengambil bahagian dalam pertandingan seperti sukan, sains, inovatif dan kebudayaan.

“Insentif kepada pelajar terbabit diberi mengikut dua kategori iaitu Kategori Berjaya Mendapat Tempat dan Kategori Penyertaan Baharu,” katanya.

V. Ganabatirau. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Penyerahan Insentif Program Pembangunan Sukan, Sains, Inovatif dan Kebudayaan di Bilik Mesyuarat Kekwa, SUK di sini, hari ini.

Turut hadir Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi UPEN, Muhammad Faris Fitri Osman dan Pegawai Dasar kepada Ganabatirau iaitu Ramaya Ananthan.

Katanya, antara sekolah yang menerima insentif itu ialah SJKT Ladang Sungai Choh diberi RM3,000 kerana mendapat tempat pertama dalam pertandingan Kategori Berkumpulan International Young Inventors Award di Jakarta, Indonesia baru-baru ini.

Manakala SJKT Kajang pula menerima RM2,000 kerana menduduki tempat kedua pada pertandingan sama.

“Insentif kepada SJKT Ladang Sungai Choh dan SJKT Kajang itu diberi di bawah Kategori Berjaya Mendapat Tempat,” katanya.

Bagi Kategori Penyertaan Baharu pula, Ganabatirau berkata, antara sekolah tersebut ialah SJKT Simpang Lima, Klang yang menyertai Kategori Berkumpulan 2019 World Invention Creativity Olympic di Seoul, Korea Selatan.

“SJKT Simpang Lima mendapat tempat pertama dan kedua bagi pertandingan World Invention Creativity Olympic dan diberi insentif RM5,000,” katanya.

International Young Inventors Award dan World Invention Creativity Olympic adalah pertandingan mereka cipta objek seperti mesin prototaip.

Katanya, semua pencapaian sekolah SJKT Tamil di negeri ini amat membanggakan dan sudah tentu semuanya berkat usaha guru di semua sekolah terbabit.

“Inisiatif ini akan diteruskan bagi menggalakkan penyertaan murid dalam pelbagai pertandingan di semua peringkat,” katanya.

Katanya, insentif sama turut diberi kepada pelajar sekolah lain yang terlibat di dalam pertandingan tertentu di dalam dan luar negara.


Pengarang :