Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Rosmah pilih sendiri jam tangan RM466,330

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Jam tangan mewah bernilai RM466,330 yang dibeli Datuk Seri Najib Razak di Honolulu, Amerika Syarikat sebagai hadiah ulang tahun kelahiran Datin Seri Rosmah Mansor, dipilih sendiri oleh isteri bekas perdana menteri itu.

Najib, 66, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini pembelian jam tangan itu bertujuan menebus rasa bersalah memandangkan percutian bersama keluarga terpaksa ditangguh dan kebetulan ulang tahun kelahiran isterinya ialah pada bulan berkenaan.

Beliau berkata demikian semasa memberi keterangan membela diri terhadap tujuh pertuduhan berkaitan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd semasa pemeriksaan utama oleh peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Najib berkata jam itu dibeli pada 22 Disember 2014 itu disebabkan beliau perlu pulang segera ke Malaysia selepas Kelantan dilanda banjir teruk.

Menurut Najib, setiap tahun percutian bersama keluarganya mengambil masa antara 10 hari hingga dua minggu, namun pada 2014 percutian terpaksa dipendekkan susulan mendapat berita banjir luar biasa di Kelantan.

“Keluarga saya begitu sedih bahawa saya terpaksa tinggalkan mereka dan balik ke Malaysia serta-merta padahal percutian hujung tahun itu ialah bagi meraikan ulang tahun isteri.

“Saya kemudian mengambil keputusan untuk membeli sesuatu yang dipilih isteri,” katanya.

Pada 11 Nov lepas, Najib diperintah membela diri terhadap tiga tuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kedudukan berkaitan dengan dana SRC International setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas perdana menteri itu.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

-BERNAMA


Pengarang :