Membuat Tang Yuen iaitu sejenis kuih diperbuat daripada tepung pulut dan berwarna-warni secara beramai-ramai dengan anggota keluarga mengeratkan hubungan kekeluargaan. Foto BERNAMA
BUDAYARENCANA

Sambutan tradisi Cina Dong Zhi hanya kenangan buat warga emas

PETALING JAYA, 22 DIS: Warga emas Yong Yin, 80, sangat teruja dan gembira setiap kali menjelangnya perayaan Solstis Musim Sejuk atau Dong Zhi yang disambut secara tradisi oleh masyarakat Cina dan Asia Timur.

Apatah tidaknya, Yong, wanita warga emas yang kini menghuni di sebuah rumah kebajikan di sini, teringat kembali kemeriahan sambutan Dong Zhi dan kenangan manis ketika berkumpul bersama ahli keluarga dan anak-anaknya di kampung suatu ketika dahulu.

Solstis Musim Sejuk dianggap sesetengah orang Cina sebagai perayaan lebih penting daripada sambutan Tahun Baru Cina dan lazimnya jatuh di antara 21 dan 22 Disember setiap tahun. Dong Zhì pada tahun ini jatuh pada 22 Disember (Ahad).

Kamarul Hisham Yeop Hashim (kanan) memberi makanan kepada penghuni Pertubuhan Kebajikan Orang Tua Yi Xing di Petaling Jaya. Foto BERNAMA

Pada tarikh ini, matahari berada paling jauh ke utara dari Khatulistiwa dan waktu siang akan menjadi pendek dan malam yang terpanjang sepanjang tahun itu. Kebiasaannya, di utara China, inilah masanya petani dan nelayan membuat persiapan untuk menghadapi musim sejuk yang akan tiba.

“Perkara yang paling seronok ketika perayaan Dong Zhi adalah memasak dan membuat Tang Yuen (sejenis kuih diperbuat daripada tepung pulut dan berwarna-warni) secara beramai-ramai dengan anggota keluarga.

“Kami sekeluarga akan membentuk Tang Yuen dalam bulatan beramai-ramai…anak-anak saya ketika kecil suka membentuk Tang Yuen dalam pelbagai bentuk berdasarkan kreativiti mereka.

“Namun, saat itu tidak akan kembali lagi….mereka semua sudah berpindah ke luar negara, tinggallah saya sebatang kara di sini,” kata Yong kepada Bernama dalam nada sebak

Yong merupakan antara 23 warga emas penghuni di Pertubuhan Kebajikan Orang Tua Yi Xing di sini, sejak tiga tahun lalu.

Menurut Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Orang Tua Yi Xing, Steven Gee Yee Seng, kebanyakan penghuni di sini berusia antara 45 dan 96 tahun, tidak berwaris ataupun hidup sebatang kara.

“Ketika musim perayaan, mereka sangat menghargai kunjungan dan layanan mesra daripada orang ramai, ia sedikit sebanyak dapat menceriakan kehidupan mereka,” katanya.

Baru-baru ini, penghuni di rumah Pertubuhan Kebajikan Orang Tua Yi Xing berpeluang meraikan Dong Zhi lebih awal atas inisiatif dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihak pengurusan pusat beli-belah The Summit USJ di Subang Jaya.

Suasana di rumah kebajikan ini lebih meriah berbanding hari biasa kerana keriuhan gelak ketawa penghuni rumah berkenaan.

Pengurus Besar The Summit USJ, Wivien San berkata, lazimnya, upacara ‘makan besar’ sering dikaitkan dengan sambutan Tahun Baru Cina, namun, tidak ramai yang mengetahui bahawa perayaan solstis musim sejuk juga penting untuk menjalinkan perpaduan dan berkumpul bersama anggota keluarga.

“Tang yuen akan dihidangkan sebagai makanan tradisional turun-temurun, membawa makna perpaduan dan kesempurnaan,” katanya.

Menurut San, masyarakat Cina juga percaya apabila seseorang itu menikmati Tang Yuen, ia turut menjadi simbolik bahawa usia sudah bertambah.

 

Artikel ini sempena sambutan Solstis Musim Sejuk atau Dong Zhì yang jatuh pada 22 Disember pada tahun ini.

– BERNAMA


Pengarang :