ADN SELANGOR

SCL2019: Pertarungan peringkat suku akhir sengit

SHAH ALAM, 4 DIS: Peringkat suku akhir Selangor Champions League 2019 (SCL2019) berlangsung sengit apabila tiga daripada empat perlawanan terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.

SA Klasiko FC memastikan salah satu slot separuh akhir miliknya selepas menundukkan juara bertahan, Puchong Fuerza FC menerusi penentuan sepakan penalti 8-7.

Kejayaan itu diperoleh selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam perlawanan suku akhir yang diadakan di Stadium MPSJ pada 30 November lalu.

Turut mengiringi SA Klasiko FC adalah MBSA FC selepas berjaya menundukkan lawan dalam perlawanan yang juga berlarutan sehingga kepada sepakan penalti.

MBSA FC menewaskan SA PIB FC 4-3 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada masa penuh permainan.

Kingstown Klang FC turut berhadapan ranjau sama ketika menundukkan MPKJ FC 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti.

Sebelum itu kedua-dua pasukan terikat satu sama dalam masa penuh permainan.

Manakala satu lagi slot separuh akhir disambar oleh Batu Dua Football Club apabila mencatatkan kemenangan bergaya ke atas NPNG FC Damansara Damai 4-0.


Pengarang :