PBTSELANGOR

Sebahagian laluan Bulatan Bestari ditutup hingga tahun depan

SHAH ALAM, 10 DIS: Sebahagian laluan Bulatan Bestari, Seksyen 2 di sini ditutup buat sementara waktu bermula 14 Disember ini hingga 4 Januari tahun depan.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata penutupan itu bagi kelancaran kerja menaik taraf di bulatan berkenaan, sekali gus siap mengikut tempoh.

Katanya kerja menaik taraf itu dilaksanakan bagi memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengguna jalan raya untuk jangka masa panjang.

“Kita menyeru pengguna jalan raya supaya tidak menggunakan jalan Persiaran yang dinyatakan untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas dan sentiasa mematuhi arahan dari semasa ke semasa.

“MBSA memohon pengguna jalan raya supaya memberikan kerjasama dan menggunakan laluan alternatif untuk menuju ke destinasi,” katanya dalam kenyataan.

Shahrin berkata pelan penguraian lalu lintas turut disediakan untuk memastikan kelancaran kenderaan yang menggunakan laluan itu.

Katanya pengguna jalan raya dari arah Seksyen 7 yang melalui Persiaran Institusi untuk ke Seksyen 2, Seksyen 16, Seksyen 17, Seksyen 18, Seksyen 24 akan dilencongkan ke Jalan Akik 7/3.

Sementara pengguna jalan raya dari arah Seksyen 3, Seksyen 4, Seksyen 5, Seksyen 6 yang melalui Persiaran Raja Muda akan dilencongkan ke Jalan Jati 3/6 untuk ke destinasi masing-masing.

“Manakala, kenderaan dari arah Seksyen 2, Seksyen 14 (pusat bandar) yang melalui Persiaran Masjid boleh menggunakan sebahagian Bulatan Bestari untuk menuju ke arah kampus UiTM, Seksyen 7, Seksyen 16.

“Pengguna jalanraya dari arah Seksyen 16, Seksyen 17, Seksyen 18 yang melalui Persiaran Raja Muda boleh menggunakan sebahagian Bulatan Bestari untuk ke Seksyen 7,” katanya.

Bagi tujuan keselamatan, katanya papan tanda lencongan dan papan tanda keselamatan akan dipasang di lokasi strategik untuk memudahkan pengguna jalan raya yang menggunakan laluan berkenaan.

“Pengguna jalan raya dimohon supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi had pemanduan ditetapkan demi keselamatan,” katanya.


Pengarang :