Hee Loy Sian meninjau salah satu pembentung di Indah Water Konsortium (IWK) Bukit Mahkota, Semenyih yang terdapat limpahan minyak kehitaman berbau yang mengakibatkan pencemaran bau di Sungai Semenyih pada 22 Disember 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Sedang baik pulih, 55,564 pengguna terima bekalan air

SHAH ALAM, 23 DIS: Kira-kira 55,564 penghuni dari 104 kawasan di sekitar Hulu Langat akan menerima bekalan air hari ini, sementara kerja baik pulih pencemaran bau di Sungai Semenyih selesai sepenuhnya.

Pejebat Menteri Besar dalam satu kenyataan berkata, bekalan air yang akan dibekalkan kepada pengguna itu adalah dari Loji Rawatan Air Langat 2 yang tidak terkesan dengan pencemaran.

“Sebanyak 86 buah lori tangki termasuk 16 buah lori tangki jumbo juga akan dihantar ke seluruh kawasan yang terjejas akibat gangguan bekalan air.

“Kesemua tindakan ini adalah langkah sementara sebelum pencemaran dapat dipulihkan sepenuhnya,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, untuk mencairkan pencemaran pelarut yang masih ada dalam Sungai Semenyih, air dari kolam Tasik Idaman Sungai Buah akan disedut dan dialirkan ke dalam Sungai Semenyih manakala air dari Empangan Sungai Semenyih turut akan dilepaskan ke sungai sama dengan kadar segera.

Keputusan itu dibuat dalam satu mesyuarat tergempar yang dipengerusikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari bersama EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian dengan wakil Pengrusan Air Selangor serta Lembaga Urus Air Selangor bagi menangani isu gangguan bekalan air di kawasan Hulu Langat akibat pencemaran bau yang dikesan pada Sabtu lepas.

Sehubungan itu, kenyataan sama turut memaklumkan, Loy Sian akan mengawasi perkembangan isu tersebut dari masa ke masa dan Kerajaan Negeri juga bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas individu yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran.


Pengarang :