Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)
PBTSELANGOR

Segera perbaharui lesen perniagaan, elak kena kompaun

SHAH ALAM, 13 DIS: Sebanyak 10,560 pemegang lesen perniagaan di bawah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dimohon segera memperbaharui lesen masing-masing sebelum 1 Januari 2020.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, pemilik lesen turut diingatkan untuk membuat pembaharuan lesen mengikut tarikh ditetapkan bagi mengelakkan sebarang tindakan kompaun.

Katanya, ini kerana MBSA sudah memberikan  tempoh tiga bulan sebelum tarikh akhir lesen kepada pemilik untuk berbuat demikian.

“Caj pengaktifan lesen bagi pemilik menjelaskan pembayaran selepas tarikh berkenaan (sebelum 1 Januari 2020) adalah sebanyak RM50 untuk lesen perniagaan (termasuk lesen anjing) dan RM100 bagi lesen perindustrian.

“Bagi kos pentadbiran, sebanyak 10 peratus dari kadar lesen akan dikenakan selepas 30 hari dari tarikh lesen ditutup,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrin berkata, bagi memudahkan pemilik lesen membuat pembayaran pembaharuan, MBSA membuka kaunter pembayaran di beberapa lokasi iaitu di Kaunter Utama, Tingkat G, Wisma MBSA, Kaunter Jabatan OSC, Tingkat LG, Wisma MBSA, Kaunter Jabatan Pelesenan, Tingkat 13, Wisma MBSA.

Selain itu, pembayaran juga boleh dibuat di Pejabat Cawangan Sungai Buloh, Seksyen U20, Pejabat Cawangan Kota Kemuning, Seksyen 31 dan Pejabat Cawangan Setia Alam, Seksyen U13, Shah Alam.

Katanya, bayaran lesen boleh dibuat untuk tempoh satu, dua atau tiga tahun tertakluk kepada jenis lesen serta pembayaran boleh dilaksanakan secara tunai/cek/draf bank/kad kredit/ kad debit.

“Bayaran melalui cek/bank draf hendaklah dibuat atas nama (Majlis Bandaraya Shah Alam) dan dipangkah ‘Kira-kira Penerima Sahaja’.

“Semakan lesen boleh dibuat melalui sistem ePS dan pemilik lesen diminta untuk mendaftar sebagai pengguna ePS bagi membolehkan pengguna membuat semakan dan pembayaran lesen,” katanya.

Pada masa sama, Shahrin berkata notis pembaharuan lesen tidak lagi dihantar melalui pos berkuatkuasa mulai Januari 2020.

Bagi tujuan pendaftaran ePS, pemilik lesen boleh melayari https://eps.mbsa.gov.my.


Pengarang :