Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor, Dr Johan Kamal Hamidon (kiri) bersama Pengarah Urusan ANF Logistik Sdn Bhd, Meor Mohd Fadzlan (kanan) bersalaman pada sidang media mengenai Asia Challenge 2020 di Stadium Shah Alam pada 14 Disember 2019. Foto BERNAMA
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Selangor Asia Challenge 2020 terus dapat kepercayaan penaja

SHAH ALAM, 26 DIS: Selangor terus mendapat sokongan dan kepercayaan bagi menjayakan ‘Selangor Asia Challenge’ yang dijadual berlangsung pada 18 dan 19 Januari depan selepas syarikat pengurusan logistik terunggul, ANF Logistics Sdn Bhd tampil sebagai rakan strategik utama untuk temasya julung kali itu.

Pengarah Urusan ANF Logistics, Meor Mohd Fadzlan berkata, pihaknya optimis The Red Giants akan kembali menjadi pasukan ‘menyengat’ dan digeruni bukan sahaja di peringkat liga domestik, malah di persada antarabangsa menerusi penajaan itu.

Katanya, kejohanan pra-musim itu mampu membawa jenama syarikat pengendalian dan penghantaran kargo udara berkenaan ke pentas lebih tinggi.

“Sebagai penyokong setia pasukan bola sepak Selangor, saya yakin dengan kepimpinan, pembangunan dan hala tuju pengurusan baharu Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) di bawah naungan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah serta Setiausaha Agungnya, Dr Johan Kamal Hamidon.

“Saya berterima kasih kepada FAS kerana memberi peluang dan kepercayaan untuk sama-sama menjayakan kejohanan berprestij yang julung diadakan di pentas Asia. Dari sudut logistik, kejohanan seumpama ini mampu mengeratkan lagi hubungan antara negara-negara yang terlibat,” katanya dalam kenyataan dimuat naik FAS di laman Facebook, hari ini.

Selain ANF Logistics, pihak lain yang turut mengesahkan penyertaan sebagai rakan strategik bersama adalah syarikat peneraju kandungan dan konsumer bersepadu Malaysia , Astro Malaysia Holdings Bhd, Majlis Bandaraya Shah Alam, Fuel Athletics Malaysia, Malaysia Airlines, Ekspres Mutiara serta Avisena Specialist Hospital.

Berlangsung selama dua hari, kejohanan yang diadakan di Stadium Shah Alam bermula 5 petang hingga 11 malam itu melibatkan penyertaan tiga pasukan negara jiran iaitu Bangkok United FC dari Thailand, Hanoi FC (Vietnam) dan Persib Bandung (Indonesia).

Setiap pasukan akan bermain dua perlawanan sahaja dan pasukan yang mempunyai rekod terbaik daripada setiap perlawanan akan dinobatkan sebagai juara.

Untuk menambahkan kemeriahan perlawanan, sistem pengiraan mata dan jumlah gol bakal diambil kira seperti kejohanan Emirates Cup di Eropah.

Sebagai ganjaran, juara akan membawa pulang wang tunai USD10,000 (RM41,353.81) dan naib juara membawa pulang USD5,000 (RM20,676.91) selain piala pusingan yang ditempa oleh Royal Selangor.

Penyokong boleh mendapatkan tiket bagi kejohanan terbabit menerusi laman sesawang FAS atau pada hari kejohanan dengan harga RM15 (pemegang kad Red Giants), RM30 (bukan pemegang kad) dan RM5 (kanak-kanak).


Pengarang :