EXCOSELANGOR

Selangor tawar kelainan Sambutan Ambang Tahun Baru 2020

SHAH ALAM, 16 DIS: Sambutan Ambang Tahun Baru 2020 peringkat negeri Selangor yang akan diadakan di Dataran Kemerdekaan pada 31 Disember bakal menjadi sambutan paling meriah pernah diadakan.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, berbeza sebelumnya, sambutan kali ini bermula seawal jam 10 pagi dengan pelbagai acara yang mampu menarik minat pelbagai peringkat usia khasnya golongan muda.

“Bermula jam 10 pagi kita adakan pertandingan e-sukan seperti ‘PubG’, ‘Call of Duty’, Fifa20 dan ‘Tekken 7’ pertandingan dron serta ‘food truck’ yang berterusan hingga malam.

“Selain itu juga diadakan acara Penalti Ambang 2020, ‘Netball Shootout Ambang 2020′, Beyblade yang menawarkan hadiah wang tunai lumayan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Mohd Khairuddin berkata, sambutan diteruskan di sebelah malam dengan program Selangor Berselawat dan solat berjemaah sebelum diikuti dengan persembahan perarakan pancaragam yang juga pertama kali diadakan.

Katanya, sambutan akan dihangatkan lagi dengan persembahan penyanyi popular Black, Syamel dan Ernie Zakri.

Mohd Khairuddin berkata, kemuncak sambutan yang akan dihadiri Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari itu adalah kiraan detik jam 12 malam dan diikuti pertunjukan bunga api.

“Sambutan kali ini adalah yang julung kali sepertinya diadakan dan ia cukup meriah.

“Saya menyeru warga Selangor datang beramai-ramai untuk sertai pelbagai acara yang akan diadakan di samping menunggu kedatangan tahun baru 2020”, katanya.


Pengarang :