Datuk Seri Rina Mohd Harun bergambar bersama pengamal media pada Majlis Malam Media Kementerian Pembangunan Luar Bandar bertemakan Fairy Tales Night di sebuah hotel malam tadi. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Sesi perbincangan bersama media tambah baik mutu kementerian

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bercadang mengadakan sesi perbincangan bersama media tahun depan bagi mendapatkan idea untuk menambah baik perkhidmatan kementerian itu, kata Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata kementeriannya juga akan lebih kerap turun padang untuk menyebarluaskan inisiatif kementerian berkenaan kepada masyarakat dan pihak berkepentingan.

“Kalau dapat pada tahun hadapan secara rasminya kita buat sesi perbincangan untuk kami dapatkan idea daripada media bagaimana kementerian boleh menambah baik lagi perkhidmatan khususnya kepada rakyat.

“Kami juga akan adakan lebih banyak hari bertemu pelanggan, lebih banyak turun padang dengan tujuan untuk sebar luas inisitif KPLB kepada masyarakat dan pihak berkepentingan,” katanya ketika berucap pada majlis Malam Media kementerian itu, di sini malam tadi.

Beliau berkata kementerian itu terbuka menerima pandangan daripada pihak media terutama dalam usaha penyampaian maklumat secara lebih berkesan.

Bertemakan ‘Fairy Tales Night’ @KPLB 2019, majlis berkenaan adalah untuk mengiktiraf kerjasama serta penghargaan kepada pengamal media yang banyak menabur jasa memberikan publisiti dan menyebar luas setiap aktiviti kementerian itu.

Rina yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata kerjasama pengamal media amat diperlukan agar usaha yang dilaksanakan kementerian itu dapat disampaikan dengan tepat dan jelas kepada orang awam, sekali gus menepis tohmahan.

Bagi menghargai jasa dan sokongan media, Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata kementerian itu akan memperkenalkan Anugerah Media Luar Bandar Sejahtera tahun depan bagi mengiktiraf pelaporan dan hasil karya pihak media semasa membuat liputan aktiviti kementerian itu.

Beliau berkata terdapat empat anugerah utama akan dipertandingkan iaitu Anugerah Media Cetak Untuk Akhbar dan Majalah, Anugerah Media Elektornik Untuk TV dan Radio, Anugerah Online Untuk Artikel dan Video serta Anugerah Fotografi Terbaik.

-BERNAMA


Pengarang :