Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sidang Kemuncak KL orak langkah perkasa Islam

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (Sidang Kemuncak KL) 2019 yang berakhir hari ini, berjaya menghasilkan inisiatif konkrit untuk mengangkat umat Islam dan menangani beberapa kebimbangan masyarakat seperti Islamofobia.

Walaupun terdapat kritikan, Perdana Menteri yang juga pengerusi sidang berkenaan, Tun Dr Mahathir Mohamad meneruskan persidangan empat hari itu bermula pada 18 Dis, dan tegas dengan kepercayaannya bahawa sidang kemuncak itu dapat memberikan sumbangan positif kepada permasalahan membelenggu masyarakat Islam global.

“Kami sekali lagi menegaskan bahawa sidang kemuncak ini tertumpu pada objektifnya mencari penyelesaian dan program yang kami percaya dapat membantu dan akhirnya menyelamatkan ummah daripada penderitaan yang dialami mereka sekarang,” katanya pada sesi penutup persidangan itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.

Pemimpin sealiran dengan Dr Mahathir, turut menyokong beliau dengan menghadiri sidang kemuncak itu termasuk Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Iran Hassan Rouhani, serta perwakilan di semua peringkat dari 56 negara Islam.

Bukan sekadar pentas untuk omong kosong, inisiatif-inisiatif yang dihasilkan oleh sidang kemuncak itu akan memberi manfaat kepada ummah dalam bidang seperti teknologi tinggi, kolaborasi media, pusat kecemerlangan penyelidikan saintifik, jaminan makanan serta kepimpinan belia.

Umat Islam kini berdepan dengan penindasan, pemenjaraan, ditempatkan dalam kem tahanan serta terjejas dengan perang saudara yang mengakibatkan kemusnahan bandar dan negara sehingga mendorong kepada penghijrahan besar-besaran umat Islam ke negara-negara bukan Islam.

Umat Islam turut menghadapi peningkatan Islamofobia dan amalan tidak rasional yang melanggar rukun Islam tetapi menyebarluaskannya atas nama Islam.

Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap kepada media pada penutup Sidang Kemuncak KL di sini hari ini. Foto BERNAMA

Dr Mahathir tanpa putus asa berusaha menjelaskan bahawa Sidang Kemuncak KL tidak bertujuan untuk mengambil alih peranan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) tetapi berfungsi sebagai kerjasama strategik untuk melengkapi usaha yang dilakukan oleh gabungan negara Islam yang sedia ada, seperti OIC dan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Lapan Negara Membangun (D-8).

Sementara itu, para perwakilan yang menghadiri Sidang Kemuncak KL itu memuji perhimpunan ini yang mereka rasakan telah berjaya menghasilkan keputusan yang konkrit dan bukan sekadar cakap kosong.

Prof Dr Umaimah Altijani Mustafa dari University of Khartoum, Sudan, berkata sidang kemuncak ini telah meneliti masalah dan konflik yang menjejaskan negara-negara Islam dan ummah secara keseluruhan dan telah berusaha dengan cara yang sangat ikhlas untuk mencari sebab dan penyelesaian bagi isu-isu tersebut.

“Saya fikir ia akan dapat mengisi jurang yang dihadapi ummah dan akan banyak membantu memperbaiki keadaan Muslim dan cuba memulihkan era kegemilangan umat Islam.

“Seperti yang kita tahu Dr Mahathir adalah seorang pemimpin Islam yang disegani, yang boleh menterjemahkan perkataan kepada tindakan. Justeru, saya percaya Sidang Kemuncak KL akan memainkan peranan yang sangat baik dan besar dalam mengubah keadaan ummah,” katanya.

Seorang perwakilan dari Switzerland, Khaldoun Dia-Eddine, yang juga Ketua Bahagian Timur Tengah dan Perniagaan, Universiti Sains Gunaan Zurich, berkata persidangan tersebut memberi isyarat bahawa umat Islam mempunyai keazaman tinggi untuk mengatasi masalah dan krisis membelenggu mereka.

Beliau berkata umat Islam di seluruh dunia sedang menanti langkah susulan dalam bentuk tindakan hasil daripada perhimpunan tersebut.

“Sekarang cabaran utama ialah menterjemahkan instrumen yang dimeterai kepada pelaksanaan dan amalan sebenar,” kata Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Tukri, Dr Haitham Al Haddad.

Dalam pada itu, perwakilan dari United Kingdom, Sirajul Islam, berkata sidang kemuncak ini harusnya dijadikan ‘wake up call’ (peringkatan) untuk ummah berdiri teguh dan saling membantu terutama mereka yang berdepan dengan ancaman atau bahaya.

“Ia penting kerana ummah perlu bersatu. Jika salah seorang menderita, seluruh ummah perlu turut merasai keperitannya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Solidariti Palestin di Turki, ​​​​Mohammed Mesheinesh berkata beliau gembira melihat semua pemimpin di sidang kemuncak itu memperakui isu berkaitan rakyat Palestin dalam ucapan mereka.

“Semua pemimpin ini mahu menangani masalah berkenaan kerana mereka tahu kami rakyat Palestin ingin hidup di negara sendiri, tapi ia sedang dijajah. Mereka faham bahawa ia adalah masalah utama ummah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Perhubungan Luar Jamaat-e-Islami Hind, sebuah pertubuhan Islam di India, Dr Rizwan Rafeequi, memuji kejayaan sidang kemuncak itu.

“Diharapkan semua resolusi boleh dilaksanakan dan seluruh dunia Islam boleh disatukan dan mendapat manfaatnya. Kami rasa sidang kemuncak ini akan memperkasa semua ummah di India dan di seluruh dunia,” katanya.

Pegawai Hamas pula Dr Osama Hamdan berkata sidang kemuncak itu adalah permulaan baik bagi membawa perubahan positif kepada komuniti Muslim, namun mengingatkan bahawa ada banyak perkara yang perlu dilakukan bagi menjayakannya.

-BERNAMA


Pengarang :