Ng Sze Han bersama beberapa wakil NGO berkaitan alam sekitar bergambar ketika lawatan tapak dan pemantauan projek ‘Breath New Life’ To Bagan Hailam, Pelabuhan Klang pada 8 Disember 2019. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Sikap penduduk berubah, tidak buang sampah dalam laut lagi

PELABUHAN KLANG, 8 DIS: Selepas empat bulan program ‘Breath New Life’ dilancar, tahap kesedaran penduduk Bagan Hailam, di sini berhubung kepentingan penjagaan kebersihan di sekitar penempatan mereka semakin meningkat.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, projek perintis kampung atas air itu juga mengubah sikap penduduk yang kini sudah tidak membuang sampah terus ke laut sebaliknya memanfaatkan ‘Roll On Roll Off’ yang disediakan KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM).

“Perubahan ini didorong penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut serta membantu kita menjayakan program cintai alam sekitar dan pembersihan kawasan bagan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan penduduk,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan tapak dan pemantauan projek ‘Breath New Life’ To Bagan Hailam, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir dan beberapa wakil NGO berkaitan alam sekitar antaranya Persatuan Life Line Malaysia, Jalan-Jalan Klang, Great Heart dan Little Giraffe Story House.

Pada masa sama, Sze Han berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan kira-kira RM334,000 bagi menjayakan program berkenaan melalui aktiviti pembersihan dan pengindahan di perkampungan yang sudah wujud sejak 120 tahun lalu itu.

Katanya, inisiatif itu bakal meletakkan kampung atas air itu sebagai lokasi tumpuan pelancongan, sekali gus menjadi model kepada beberapa kampung bagan lain terdapat di Selangor.

“Setiap enam minggu akan ada satu program NGO bersama penduduk kerana kita berasakan terdapat keperluan untuk mengubah sikap penduduk yang selama ini sesuka hati membuang sampah dari rumah ke laut.

“Kerja pembersihan dari KDEBWM secara besar-besaran memerlukan sekurang-kurangnya tiga bulan dan program ini tidak akan berhenti (selepas tiga bulan), tetapi berterusan supaya kita dapat mengekalkan momentum kebersihan di sini,” katanya.


Pengarang :