Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua menyampaikan ucapan ketika sesi penggulungan dalam Kongres Nasional KEADILAN Ke-14 berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa (MITC), Melaka. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Singgahsana PM dibina hasil pengorbanan banyak pihak

AYER KEROH, 8 DIS: Naib Presiden, Tian Chua menegaskan soal Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi calon Perdana Menteri ke-8 sudah lama ditetapkan dan dibawa ke meja rundingan Pakatan Harapan (PAKATAN) tanpa perlu dipertikaikan.

Sebaliknya beliau berkata, sepanjang 20 tahun perjuangan KEADILAN ramai yang sudah berkorban untuk mengangkat parti ke tahap sekarang walaupun ada antara mereka telah meninggal dunia dan tinggalkan parti, namun mereka tetap perlu dikenang pengorbanannya.

“20 tahun lalu nak sebut ‘Hidup Anwar’ berseorangan berapa dalam kalangan kita yang berani? Kita harus ingat singgahsana perdana menteri ini diukir, direka bentuk dengan pengorbanan dan sumbangan pelbagai pihak.

“Tanpa pengorbanan (Dato’ Seri) Mohamed Azmin, tanpa rekod kecemerlangan Selangor, adakah kita boleh mencapai kemenangan? Kita juga harus ingat 20 tahun yang menyumbang dan berkorban ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kongres Tahunan Nasional KEADILAN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) hari ini.

Katanya, walaupun ada ketika tidak bersependapat namun sejarah mengemudi KEADILAN tidak harus dilupakan dan bukannya dibalas dengan sorakan pengkhianat atau pecat.

“Walaupun banyak kali saya tidak bersependapat tapi kongres ini tidak boleh lupakan sejarah. Ramai juga yang telah meninggal dan tidak bersama dengan wahana ini.

“(Tetapi) inilah yang menjadikan parti kita kuat. Ini nak sorak-sorak pengkhianat. Saya tidak takut untuk berdepan dan berbahas. Hujah lawan hujah.

“(Tidak perlu) menganggap kita pengkianat kerana kita telah bekorban dan menyumbang selama 20 tahun (hanya) kerana tidak bersependapat dalam beberapa perkara,” katanya.


Pengarang :