Pelajar Politeknik Shah Alam menyertai Program Pembangunan Usahawan India Selangor (SITHAM) di kolej berkenaan pada 25 November lalu. Foto Facebook Dr G Gunaraj
ADNSELANGOR

SITHAM dedahkan pelajar selok-belok perniagaan

OLEH ALIFF HAIKAL

SHAH ALAM, 3 DIS: Seramai 600 pelajar Politeknik Shah Alam menyertai Program Pembangunan Usahawan India Selangor (SITHAM) di kolej berkenaan, di sini pada 25 November lalu.

Ahli Dewan Negeri Sentosa, Dr G Gunaraj berkata program itu bertujuan memberi pendedahan berhubung kaedah meningkatkan jualan melalui media sosial.

“Media sosial memainkan peranan penting pada masa kini terutama dalam bidang perniagaan.

“Kebanyakan usahawan muda menggunakan media sosial sebagai landasan untuk melariskan perniagaan kerana medium ini mampu menjana pulangan tinggi,” katanya melalui hantaran di Facebook.

Beliau berkata program seawal 9 pagi itu turut menampilkan tenaga pengajar berkemahiran dalam media sosial.

SITHAM terdiri daripada empat kategori iaitu Latihan Pembangunan Usahawan, Kursus Kemahiran dan Pembuatan jangka masa pendek, program bimbingan perniagaan (GROW) dan bantuan peralatan perniagaan (GERAN).

Latihan Pembangunan Usahawan adalah penyediaan latihan asas kepasa usahawan India untuk mempelajari teknik menambah jualan dan memahami keperluan terkini dalam perniagaan.

Syarat penyertaan adalah berbangsa India bermustautin lima tahun, berumur 18 hingga 55 tahun serta berminat dan sedang menceburi bidang perniagaan.

Kurus Kemahiran dan Pembuatan pula memberikan latihan secara ‘one-off’ kepada peserta yang tidak mempunyai sebarang kemahiran perniagaan dan pembuatan.

Peserta perlu memenuhi syarat berbangsa India, berumur 18 hingga 55 tahun, bermustautin lima tahun dan berminat dengan latihan.

Bagi program GROW, peserta bakal mendapat bimbingan daripada mentor berpengalaman, peluang menjana pendapatan melalui latihan, boleh terus memulakan perniagaan serta mendapat modal perniagaan maksimum RM5,000.

Kategori GERAN pula merangkumi bantuan peralatan sehingga RM10,000 kepada usahawan yang mempunyai perniagaan sendiri.


Pengarang :