AGENDA NASIONAL

SKMM laksana pelan simulasi hadapi musim banjir

CYBERJAYA, 8 DIS: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama industri telekomunikasi, melaksanakan beberapa pelan simulasi sebagai persiapan berhadapan musim banjir yang sedang melanda beberapa negeri.

SKMM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, simulasi itu memberi penekanan kepada sektor komunikasi, pos dan kurier bagi memastikan impak ke atas aset dan perkhidmatan telekomunikasi adalah minimum dan seterusnya menjamin kesalinghubungan ketika banjir.

“Langkah-langkah proaktif seperti memastikan bilangan penjana mudah alih adalah mencukupi, menaik taraf infrastruktur komunikasi di pusat-pusat pemindahan serta meninggikan tapak-tapak yang terdedah kepada banjir telah pun diambil.

“Sektor pos dan kurier pula telah mengenal pasti lokasi-lokasi alternatif untuk penghantaran dan aset, kerahan tenaga manusia, bekalan tenaga sandaran dan bekalan-bekalan kecemasan,” katanya.

Menurut SKMM, antara kawasan yang terlibat dalam simulasi itu ialah Bukit Tampin, Negeri Sembilan dengan kerjasama Telekom Malaysia; Bukit Jelutong, Selangor (Celcom); Felda Berabong, Pahang (Digi); Mak Mandin Jetty, Pulau Pinang (Maxis); dan MSU Shah Alam, Selangor (U Mobile).

Simulasi secara besar-besaran turut diadakan di Kemaman, Terengganu dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), industri telekomunikasi, agensi-agensi tempatan, serta pos dan kurier, jelasnya.

Selain itu, SKMM serta industri telekomunikasi, pos dan kurier buat pertama kali telah berganding bahu dalam misi penghantaran bantuan kemanusiaan kepada mangsa banjir di Pantai Timur.

Menurut SKMM, misi berkenaan yang dilaksanakan dengan kerjasama NADMA, berlepas dari Depoh Simpanan Pertahanan, Sungai Buloh pada Jumaat bersama muatan 52 tan barangan bantuan untuk lebih 5,000 mangsa banjir.

“Mereka telah menyumbangkan ‘power bank’, air minuman, selimut, kit penjagaan diri, serta barang kegunaan harian yang lain. Bantuan kemanusiaan ini telah tiba di Pasir Mas dan Tumpat, Kelantan, pada Sabtu (semalam),” katanya.

Menurut SKMM, antara yang memberi sumbangan ialah City-Link Express, GD Express Sdn Bhd, J&T Express, Line Clear Express and Logistics Sdn Bhd, Pos Malaysia, Skynet Malaysia, Digi dan U Mobile.

Pada masa sama, suruhanjaya itu menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan semasa musim banjir antaranya mengelak daripada menggunakan peranti mudah alih untuk aktiviti penstriman atau muat naik dan muat turun bagi mengurangkan kesesakan rangkaian.

“Hadkan panggilan yang ingin dibuat kepada panggilan yang penting sahaja bagi mengelakkan kesesakan rangkaian suara dan hanya menggunakan telefon bimbit dan power bank untuk hal-hal penting sahaja,” katanya.

SKMM turut menasihatkan orang ramai supaya menjimatkan bateri telefon dengan mengurangkan kecerahan skrin dan tutup aplikasi yang tidak digunakan, mendapatkan maklumat terkini melalui hebahan semasa dan mengikuti akaun media sosial agensi-agensi kerajaan tempatan dan badan-badan berkaitan untuk maklumat terkini.

Orang ramai juga dinasihatkan tidak panik dan membuat sebarang spekulasi di media sosial dan menghubungi talian 999 hanya jika menghadapi situasi yang mengancam nyawa.

-BERNAMA


Pengarang :