Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PENDAPATRENCANA

Skytrex Sungai Congkak peluang terbang bagai burung

OLEH NADIAH ZAMLUS

Selain kompleks membeli-belah yang tumbuh bagaikan cendawan, Selangor juga mempunyai pelbagai lokasi alam semula jadi yang menarik untuk dikunjungi.

Paling menarik apabila keindahan alam semula jadi itu boleh dinikmati dengan menyertai pelbagai aktiviti lasak yang mampu menguji adrenalin anda.

Oleh itu, bagi anda yang ingin merasai pengalaman terbang bagaikan burung di udara, jangan sesekali melepaskan peluang dengan menyertai aktiviti lasak di Skytrex Sungai Congkak, Hulu Langat.

Terletak di Hutan Lipur Sungai Congkak, lokasi itu bukan sesuatu yang asing bagi warga Kuala Lumpur untuk bersantai pada hujung minggu.

Mempunyai keindahan flora dan fauna unik, deruan air sungai mengalir jernih sememangnya menjanjikan kedamaian tersendiri buat anda yang mengunjunginya.

Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Selain mandi-manda, berkhemah juga ber’bbq’, pengunjung turut ditawarkan untuk menyertai aktiviti lasak yang disediakan Skytrex Sungai Congkak.

Dengan hanya membayar tiket serendah RM55, pengunjung boleh mencuba lebih daripada 10 kali permainan ‘flying fox’ kerana lokasi itu dikenali sebagai ‘Malaysia First Flying Fox Park by Skytrex’.

Jerit kuat-kuat

Dengan ‘flying fox’ terpanjang iaitu kira-kira 110 meter, anda kini boleh terbang di udara, malahan boleh menjerit sekuat-kuatnya bagi melepaskan tekanan.

Pemilik Skytrex, Azlan Idrus berkata, riadah lasak itu bagaimanapun tidak hanya terbuka kepada peminat sukan lasak, sebaliknya ia terbuka kepada mereka yang teringin mencuba dan permainan berkenaan selamat untuk digunakan.

“Bezanya Skytrex Sungai Congkak dengan Skytrex Melaka atau Skytrex Langkawi ialah tempat mempunyai sungai. Jadi, pengunjung bukan saja boleh menikmati pemandangan hutan semula jadi yang indah tetapi pada masa sama mendengar terapi bunyi Sungai Congkak.

“Oleh itu, tidak dinafikan dengan adanya tarikan sungai ini membolehkan lebih ramai pengunjung datang ke Skytrex Sungai Congkak,” katanya.

Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau ditemui SelangorKini ketika Program Media Familiarization Trip 2019 Discover Hulu Langat anjuran Tourism Selangor dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kajang.

Tiada paku

Lebih menarik apabila Skytrex yang menggunakan pokok sebagai tiang utama tidak menggunakan sebarang paku.

“Sepanjang pembinaan Skytrex Sungai Congkak, kita tidak menggunakan sebarang jentera berat sebaliknya semua alatan permainan dipasang menggunakan tenaga kerja manusia sahaja.

“Ini kerana kami tidak mahu pokok ini menerima tekanan, sekali gus mengelakkan daripada kejadian buruk berlaku,” katanya.

Bagi yang jarang melakukan aktiviti lasak, anda tidak perlu bimbang kerana petugas di Skytrex akan terlebih dahulu memberikan demonstrasi serta tips keselamatan bagi membolehkan pengunjung berasa lebih selamat.

Rasanya inilah waktu terbaik untuk menguji kekuatan fizikal dan mental anda, jom terbang di Skytrex!

INFO
Lokasi : SKYTREX SUNGAI CONGKAK
Alamat: Batu 20, 1/2, Jalan Sungai Congkak, Kampung Padang, 43100 Hulu Langat, Selangor
Pakej Harga: RM55 – RM125 (Bergantung kepada pakej yang diambil)
Masa: 9 pagi- 5.30 petang
Telefon (Pertanyaan dan tempahan): 013-2769841
Pilihan cabaran : Rapid Extreme, River Thrill dan Double Dare
Jenis-jenis halangan : Ladder up, Monkey Bar, Hug Pipe, Fish Bone dan Step Bridge.
Laman sesawang: www.skytrex-adventure.com
Facebook: skytrexadventure
Instagram: skytrexadventure


Pengarang :