Shah (tengah) Zamani (enam, kiri) bergambar bersama penduduk Pangsapuri Sri Tanjung ketika Program Langkah Ke Menara Gading anjuran Kumpulan Slam dan JKP Zon 3 Subang Jaya di Pangsapuri Sri Tanjung, Subang Jaya pada 26 Disember 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Slam agih bantuan sekolah ceriakan 80 kanak-kanak miskin

SUBANG JAYA, 26 DIS: Keceriaan jelas terpancar pada wajah 80 murid kurang berkemampuan apabila menerima beg sekolah dan alat tulis sumbangan Kumpulan Slam di Pangsapuri Sri Tanjung USJ16 di sini hari ini.

Sumbangan itu sebahagian daripada projek amal di bawah kelolaan Skuad Basmi Kemiskinan (BASKIN) bersama Jawatankuasa Penduduk Zon 3 Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melalui program Langkah Ke Menara Gading.

Vokalis Slam, Zamani Ibrahim berkata program itu antara lain bertujuan membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah membuat persediaan persekolahan.

Peserta Gegar Vaganza 5 itu turut menggalakkan lebih ramai anak-anak ke sekolah bagi mengelakkan mereka daripada terjebak dengan kegiatan tidak bermoral.

Shah(dua, kiri) Zamani (kiri) menyampaikan sumbangan keperluan sekolah ketika Program Langkah Ke Menara Gading anjuran Kumpulan Slam dan JKP Zon 3 Subang Jaya di Pangsapuri Sri Tanjung, Subang Jaya pada 26 Disember 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Ini kali pertama kami mengadakan program amal bersama anak-anak di sini dan mereka kelihatan gembira menerima sumbangan yang dapat meringankan beban ibu bapa masing-masing.

“Malah, kami menyambut baik usaha mana-mana pihak sekiranya mahu menjalin kerjasama untuk menjalankan program yang menyasarkan golongan susah,” katanya ketika ditemui hari ini.

Turut hadir, gitaris Slam Shah Nizam Abdul Halim (Shah), Presiden BASKIN Nur Fazian Kasim dan Setiausaha JKP MPSJ Zon 3 Singam Muniandy.

Sementara itu, Singam berkata Pangsapuri Sri Tanjung diambil sebagai pangsapuri angkat bagi memperkasa dan memberdaya komuniti dalam kelompok berkenaan supaya dapat meningkatkan pendapatan isi keluarga.

Katanya projek berkenaan diharap mampu meningkatkan kesedaran berhubung pendidikan yang menjadi aset penting untuk membentuk masa depan lebih bermakna.

“Sebenarnya banyak program yang sudah kita laksanakan sebagai tanda sokongan terhadap projek ini membabitkan kesihatan, keselamatan, kebersihan, keusahawanan termasuk perpustakaan komuniti.

“Saya percaya program seperti ini boleh menyumbang pelbagai manfaat kepada komuniti di sini,” katanya.


Pengarang :