Mohamad Suhaimi Mohamad Tahir dan Dato’ Mohd Nasir Abu Mansor pada majlis menandatangi perjanjian kerjasama meneroka perkhidmatan jalur lebar menggunakan teknologi Giga Wire pada November lalu. Turut menyaksikan majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Raja Shahreen Raja Othman.
AGENSISELANGOR

SMARTSEL tembusi pasaran jalur lebar dengan harga berpatutan

SHAH ALAM, 5 DIS: Anak syarikat milik penuh Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), SMARTSEL Sdn Bhd menandatangani Perjanjian Kerjasama dengan Dewarisan Ventures Sdn Bhd bagi membangun dan menyediakan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi berasaskan kabel tembaga yang menggunakan teknologi Giga Wire.

SMARTSEL menerusi satu kenyataan berkata, menerusi kerjasama yang berlangsung pada November lalu, pihaknya akan dapat menawarkan perkhidmatan jalur lebar yang inovatif dengan harga berpatutan kepada kumpulan sasar iaitu B40 di Selangor.

“Ia sejajar dengan misi SMARTSEL dalam memastikan manfaat sambungan digital yang dapat diakses dan mampu dimiliki oleh setiap lapisan penduduk negeri ini,” katanya.

Teknologi Giga Wire adalah satu evolusi teknologi yang membolehkan kepada akses rangkaian yang lebih pantas menerusi kabel tembaga sedia ada.

Kerjasama itu ditandatangani oleh Pengarah Urusan SMARTSEL, Mohamad Suhaimi Mohamad Tahir dan Ketua Pegawai Eksekutif Dewarisan Ventures Sdn Bhd, Dato’ Mohd Nasir Abu Mansor.

Di bawah perkongsian itu, SMARTSEL dan Dewarisan Ventures akan turut disokong oleh rakan teknologi Korea Selatan, Zaram Technology Incorporated.


Pengarang :