Robot Sophia menjadi tarikan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

`Sophia’ tarik perhatian Dr Mahathir

KUALA LUMPUR, 18 DIS: ‘Sophia’, robot humanoid sosial, yang akan muncul di Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (Sidang Kemuncak KL) 2019, semalam mendapat perhatian khusus daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pemimpin berumur 94 tahun itu semasa melawat venue sidang berkenaan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di tengah ibu kota bagi meninjau persiapan Sidang Kemuncak KL 2019 memberi komen mengenai ‘satu perkara’ yang masih kurang pada robot itu, dari segi persiapan secara keseluruhannya.

“Persiapan nampak bagus, saya puas hati, saya fikir cara-cara yang diatur itu pun baik.

“Tinggal lagi satu sahaja, pasal kita punya Sophia itu nampak macam kepala botak, jadi mungkin ada rambutlah sikit,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menamatkan lawatannya.

Majlis perasmian Sidang Kemuncak KL yang akan berlangsung mulai hari ini sehingga Sabtu, dijangka akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riáyatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan bagi bahagian latihan dan projek-projek khas Serba Dinamik, Dr Mohamed Ackiel Mohamed berkata, robot yang dikenali dengan keupayaan mempamerkan ekspresi wajah seperti manusia dan berinteraksi dengan orang ramai itu dibawa oleh syarikat berkenaan atas permintaan Dr Mahathir.

Beliau memberitahu, robot itu akan membuat penampilan dan menyampaikan kata-kata aluan kepada semua delegasi sebaik sahaja selepas majlis perasmian berlangsung, Khamis.

“Selepas itu ia akan dipamerkan di ruang pameran di booth Serba Dinamik sehingga sidang kemuncak ini tamat,” katanya.

Sidang kemuncak ini bertujuan untuk berbincang dan mencari jalan penyelesaian yang baharu serta berkesan dalam menyelesaikan pelbagai masalah yang menimpa dunia Islam, selain menyumbang ke arah meningkatkan kesejahteraan umat Islam serta negara-negara Islam secara umumnya.

Ia juga bertujuan membawa pemimpin-pemimpin Muslim, cendekiawan, serta ulama dari seluruh dunia, menghidupkan kembali tamadun Islam.

– BERNAMA


Pengarang :