Pasukan yang terlibat dalam Op Kim Kim memindahkan tanah yang dicemari sisa kimia dari lokasi kejadian sebelum dialihkan ke pusat pelupusan di Sungai Kim Kim dekat Pasir Gudang pada 30 Mac 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Sorotan 2019: Pencemaran Pasir Gudang ‘buka mata’ penjagaan alam sekitar

JOHOR BAHRU, 29 DIS: Dua episod pencemaran yang berlaku di kawasan Pasir Gudang, dekat sini, dalam tempoh berselang hanya tiga bulan pada tahun ini, memberikan pengajaran dan kesedaran pentingnya masyarakat serta pihak berkaitan menjaga alam sekitar serta membanteras aktiviti pembuangan sisa kimia secara haram.

Pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim pada bulan Mac, disusuli episod pencemaran udara pada Jun, bukan sahaja menimbulkan kerisauan masyarakat setempat, malah memberi pengajaran kepada agensi dan jabatan berkaitan untuk mempertingkatkan pemantauan serta menghalusi Prosedur Operasi Standard (SOP) mereka dalam menghadapi bencana seumpama itu.

Mengimbau kembali kejadian pertama pada 7 Mac, sebilangan pelajar dan kakitangan di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih mengalami simptom pening kepala, mual dan muntah selepas dipercayai menghidu bau disyaki bahan kimia.

Pada hari sama, 35 orang dirawat di hospital dengan tiga daripada mangsa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), yang memaksa sekolah ditutup untuk tiga hari berikutnya.

Bagaimanapun, apabila sekolah dibuka semula pada 11 Mac, simptom yang sama melanda pelajar dan kakitangan sekolah di kawasan berhampiran dengan kejadian pertama, sekali gus mencetuskan gelombang kedua pencemaran.

Pada hari yang sama, Jabatan Alam Sekitar dan pihak polis menyerbu sebuah kilang haram yang terletak 500 meter dari Sungai Kim Kim, selepas penahanan tiga lelaki termasuk dua pemilik kilang kerana disyaki membuang sisa bahan kimia ke dalam Sungai Kim Kim.

Berikutan gelombang kedua pencemaran yang berlarutan beberapa hari, akhirnya arahan dikeluarkan untuk menutup kesemua 111 sekolah di kawasan Pasir Gudang untuk tempoh tertentu bermula 13 Mac.

Setakat 14 Mac, seramai 2,775 orang awam menerima rawatan dengan tujuh dirawat di ICU manakala 92 tadika dan taska di kawasan terjejas juga ditutup bagi mengelakkan peningkatan jumlah mangsa. Selain itu, 51 laporan polis diterima berhubung kes pencemaran bahan kimia.

Apa yang mengejutkan, pihak berkuasa menemui 46 lokasi di Pasir Gudang yang dikenal pasti berpotensi menjadi sumber pencemaran, berdasarkan data satelit susulan pemantauan ketika mengesan punca dan sumber kes pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim.

Ia sekali gus mendatangkan kerisauan masyarakat dan membuka ruang perdebatan mengenai Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, yang ketika ini dilihat tidak mencukupi untuk menghukum pesalah alam sekitar dan tidak mengambil kira pembangunan masa kini.

Selepas kes di Sungai Kim Kim, tiga bulan kemudian, insiden pencemaran melibatkan pelajar dan kakitangan sekolah terjadi lagi sehingga menyebabkan sekolah yang terjejas ditutup.

Kejadian pencemaran yang bermula 20 Jun itu, turut menampilkan simptom yang sama iaitu muntah-muntah, loya dan pening kepala kepada pelajar dan kakitangan sekolah, yang pernah terjejas ketika pencemaran Sungai Kim Kim.

Apa yang memeningkan pihak berkuasa, sehingga hari ini punca kepada pencemaran itu masih belum dikenal pasti.

Bagi memastikan kejadian yang sama tidak berulang, pada 19 November lepas, kerajaan mengumumkan tujuh langkah utama untuk memperbaiki kawalan kualiti alam sekitar.

Langkah-langkah itu termasuk mengambil tindakan terhadap suspek pencemaran alam sekitar, tinjauan pihak berkuasa yang lebih meluas, melipatgandakan tindakan penguatkuasaan dan menubuhkan cawangan Jabatan Alam Sekitar Pasir Gudang.

Perbicaraan empat lelaki termasuk dua warga Singapura yang didakwa mencemarkan Sungai Kim Kim pada 7 Mac lepas, dijalankan pada 3 Disember hingga 5 Disember lalu dan perbicaraan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob di Mahkamah Sesyen di sini, akan disambung 10 Mac tahun hadapan.

Diharapkan dengan pelbagai langkah yang diperkenalkan kerajaan, isu penjagaan alam sekitar akan lebih dititikberatkan oleh masyarakat selain aktiviti penguatkuasaan terhadap pesalah alam sekitar dipertingkatkan. Semoga episod pencemaran seperti pencemaran Sungai Kim Kim dan pencemaran bau di sekitar kawasan Pasir Gudang tidak berulang lagi.

-BERNAMA


Pengarang :