Dato’ Seri Amirudin Shari melakukan gimik perasmian 5G pada Majlis Menandatangani Memorandum Kolaborasi (MoC) antara MPSJ dan TM One di Empire Hotel, Subang Jaya pada 12 Disember 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Subang Jaya dipilih laksana Projek Demonstrasi 5G

SUBANG JAYA, 12 DIS: Subang Jaya menjadi lokasi terawal di Selangor yang dipilih Telekom Malaysia Berhad (TM) selepas Langkawi bagi memulakan Projek Demonstrasi 5G (5GDP) selama enam bulan.

Projek itu dimetrai selepas unit rumusan perniagaan perusahaan dan sektor awam TM, TM ONE bersama Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menandatangani memorandum kerjasama (MoC) di Emperor Ballroom, Hotel Empire hari ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, Selangor berbesar hati melaksanakannya selaras hasrat ke arah Negeri Pintar pada 2025.

“Ini adalah satu contoh yang baik bagaimana kolaborasi antara teknologi dengan agensi kerajaan akan membantu mempercepatkan proses perkhidmatan kepada rakyat, memperbanyakkan pemantauan dan sebagainya.

“MPSJ adalah tempat untuk kita memulakan beberapa projek perintis sebelum ini. Saya percaya ia boleh dikembang kepada aspek keselamatan seperti yang berjaya ditunjukkan di beberapa daerah,” katanya.

Projek 5GDP di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membabitkan pelaksanaan tiga kes gunaan iaitu penyelesaian Lampu Trafik Pintar, Parkir Pintar serta Keselamatan dan Pengawasan Pintar di SS15, Subang Jaya.

MoC itu menyaksikan TM ONE diwakili Naib Presiden Eksekutif Ahmad Taufek Omar manakala MPSJ diwakili Yang Dipertua TPr Noraini Roslan sambil disaksikan Amirudin, Pengerusi TM Rosli Man dan Ketua Pegawai Digital SKMM Gerard Lim.

Melalui memorandum itu, TM ONE dan MPSJ bersetuju untuk bekerjasama dalam pelaksanaan rangkaian 5G dengan melancarkan tiga kes gunaan yang berfungsi sepenuhnya sejak November 2019.


Pengarang :