Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail
AGENDANASIONAL

Sukan Para Asean 2020 ditangguh ke Mac

KUALA LUMPUR, 20 DIS: Majlis Sukan Negara (MSN) sahkan Sukan Para Asean 2020 di Filipina yang dijadualkan berlangsung pada 18-24 Januari ditunda ke 20-28 Mac.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, maklumat tersebut diperoleh daripada Persekutuan Sukan Para Asean (APSF) yang disampaikan kepada Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

“Kita baru dapat maklumat bahawa Sukan Para Asean akan ditangguhkan dari bulan Januari ke Mac. Persiapan kita sudah pun di peringkat akhir, di mana kita akan buat ‘camp’ terakhir pada 11-13 Januari ini, sebelum bertolak pada 14 Januari.

“Sudah tentu penundaan ini memberi sedikit kesan. Walau bagaimanapun, kita telahpun berbincang untuk mengubahsuai dan menyelaraskan semula program latihan. Program latihan sebelum ini, melibatkan waktu kemuncak (peak time) atlet iaitu di Sukan Para Asean pada bulan Januari.

“Sekiranya mereka tidak bertanding pada waktu tersebut iaitu masa sepatutnya dia berada di kemuncak, maka kita kena lihat semua program persediaan mereka untuk kemuncak semula pada bulan Mac,” katanya kepada pemberita di MSN hari ini.

Ahmad Shapawi berkata, pihaknya termasuk Institut Sukan Negara (ISN), persatuan sukan para kebangsaan dan jurulatih, terpaksa bekerja keras untuk memastikan atlet para negara, boleh mempamerkan aksi terbaik mereka pada bulan Mac.

Katanya, beliau telah mencadangkan kepada persatuan kebangsaan untuk menganjurkan kejohanan simulasi pada bulan Januari, agar atlet tidak terjejas dari segi persiapan.

“Ini cabaran untuk kita. Kita harap bahawa jurulatih dan atlet akan ada kejohanan pada Januari ini bagi ganti Sukan Para Asean, pada tarikh sama. Hal ini bukan dialami Malaysia sahaja, semua negara yang sertai akan terlibat dan terkesan.

“Sudah tentu mengganggu dari segi psikologi. Semua perlu diambil kira, untuk pastikan atlet bersedia kembali pada bulan Mac. Bulan Januari bukan masa untuk kita cuti, kena kerja,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :